
KUALA LUMPUR, 28/08/2025
Cadangan kerajaan menetapkan usia 30 tahun sebagai ambang kelayakan pembangunan semula bangunan dalam Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 mencetuskan bantahan hebat daripada pelbagai pihak, khususnya Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) dan ahli akademik yang bimbang ia bakal “menggadai” hak rakyat.
Setiausaha Agung HBA, Datuk Chang Kim Loong, menegaskan bahawa cadangan ambang usia 30 tahun tidak masuk akal kerana jangka hayat purata sesebuah bangunan di Malaysia ialah 70 hingga 80 tahun, malah Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan bangunan mampu bertahan sehingga 100 tahun. “Pinjaman perumahan pun 35 tahun. Belum sempat habis bayar, rumah boleh dirobohkan. Rumah adalah hak mutlak pemilik, tiada siapa berhak merampasnya,” katanya.
Menurut Chang, alasan kerajaan bahawa pembangunan semula bertujuan menaik taraf kemudahan tidak meyakinkan. “Kalau warga tua tidak mampu naik tangga, pasang lif. Tidak perlu robohkan semua bangunan untuk bina baharu. Soalnya, siapa untung? Pemaju swasta,” katanya dengan nada kesal.
Beliau turut membidas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang menggunakan projek One Razak Mansion dan Kampung Kerinchi sebagai contoh kejayaan pembangunan semula. Chang menegaskan bahawa kedua-dua projek tersebut hanya dilaksanakan selepas mendapat 100 peratus persetujuan pemilik, berbeza dengan cadangan URA yang hanya memerlukan 75 peratus dan tambahan pula, projek itu dilaksanakan pentadbiran lama, bukan beliau,” tegasnya.
Hujah Chang turut disokong oleh pemerhati awam yang memberi contoh seorang penjawat awam berusia 24 tahun yang membeli rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau flat kos rendah. Dengan usia pencen 60 tahun dan jangka hayat 85 tahun, pemilik berdepan kemungkinan dua kali pembaharuan semula bandar sepanjang hayatnya iaitu ketika berusia 54 dan 84 tahun.
“Apakah ketika usia 54 atau 84 tahun bank akan beri pinjaman semula? Sudah tentu tidak. Akhirnya, mereka terpaksa keluar dengan pampasan minimum, tidak mampu membeli rumah baharu, lalu menyewa sehingga pencen. Ini mewujudkan jurang besar dan bandar jadi milik golongan kaya T20, manakala golongan M40 dan B40 terpaksa berpindah ke luar bandar,” kata seorang aktivis perumahan.
HBA turut memberi amaran bahawa RUU URA menyerahkan kuasa terlalu besar kepada seorang menteri. Semua kelulusan pembangunan semula perlu dirujuk kepada beliau. “Hari ini mungkin seorang menteri, esok siapa tahu? Kuasa sebegini membuka ruang besar kepada penyalahgunaan,” tegas Chang.
Beberapa Ahli Parlimen pembangkang serta Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi sebelum ini juga telah menghantar surat rasmi meminta penangguhan bacaan kali kedua RUU URA. Namun, Nga Kor Ming dilaporkan tetap bertegas untuk membentangkannya minggu ini. Tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar mendengar kebimbangan rakyat atau hanya mengutamakan kepentingan pemaju.
RUU URA 2025 kini menjadi ujian besar terhadap komitmen kerajaan dalam menjaga keseimbangan antara pembangunan bandar dan hak rakyat marhaen. Dengan ambang usia 30 tahun yang dipertikaikan, risiko pemilik rumah dipaksa keluar sebelum pinjaman perumahan selesai dibayar semakin nyata. Jika tidak diteliti, akta ini berpotensi menukar wajah bandar raya menjadi eksklusif untuk golongan berada, sementara majoriti rakyat dipinggirkan ke luar bandar. Masa depan hak pemilikan rumah rakyat kini bergantung kepada keputusan Parlimen.
#Prezcom