
KUALA LUMPUR, 27/08/2025
Mesyuarat Tahunan dan Persidangan Antarabangsa World Zakat and Waqf Forum (WZWF) ke-14 akan berlangsung pada 13 hingga 15 Oktober 2025 di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching, Sarawak. Majlis bersejarah ini diadakan bersempena Ulang Tahun Ke-70 Majlis Islam Sarawak dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, YBhg. Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari pada hari pertama persidangan.
Forum ini turut akan dihadiri oleh YAB Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim yang akan menyampaikan sesi ucaptama pada hari terakhir forum sekali gus menegaskan kepimpinan Malaysia dalam memposisikan zakat dan wakaf sebagai pemangkin pembangunan inklusif dan mampan di peringkat global.
Kemuncak acara ini adalah Deklarasi Kuching yang akan diumumkan oleh Setiausaha Agung WZWF sebagai tanda komitmen bersama komuniti antarabangsa. Majlis pada hari ini adalah signifikan kepada usaha kolaborasi antara pihak penganjur bersama para penyokong WZWF 2025. Majlis penyerahan hari ini telah disaksikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWM yang menzahirkan komitmen padu Kerajaan Malaysia dalam memperkasa kewangan sosial Islam.
Antara penaja utama bagi penganjuran majlis ini adalah Kumpulan MBSB, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), BERNAS, Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn Bhd (MKIC), Pusat Pungutan Zakat – MAIWP (PPZ-MAIWP), dan Yayasan Infaq ANGKASA.
Persidangan ini turut disokong oleh Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) sebagai Rakan Ilmu. Sokongan ini akan memastikan keberhasilan perhimpunan pemimpin global, pembuat dasar, sarjana dan pengamal industri zakat dan wakaf dari seluruh dunia. Peluang tajaan bagi WZWF 2025 masih dibuka kepada rakan strategik lain.
WZWF kali ini dianjurkan bersama oleh Kerajaan Sarawak, Majlis Islam Sarawak (MIS), dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yang juga bertindak sebagai penaja utama. Kolaborasi ini menandakan pencapaian bersejarah Sarawak dalam memposisikan diri sebagai peneraju tadbir urus zakat dan wakaf progresif di peringkat nasional dan antarabangsa. Penganjuran WZWF 2025 juga bertepatan dengan sambutan 70 tahun Majlis Islam Sarawak sebagai institusi utama dalam memajukan hal ehwal Islam di negeri ini.
WZWF 2025 turut bakal menerima penyertaan perwakilan dari pelbagai negara termasuk Afrika Selatan, Australia, Kanada, Hong Kong, Bangladesh, Arab Saudi, Bosnia dan Herzegovina, Nigeria, Liberia, Sierra Leone serta negara-negara ASEAN. Kehadiran mereka memperkukuhkan lagi posisi forum ini sebagai platform global terkemuka dalam memperkasa peranan zakat dan wakaf di era digital.
Menurut Setiausaha Agung WZWF, YBhg. Datuk Dr. Mohd Ghazali Md Noor, penajaan ini mencerminkan semangat inovasi dan keterangkuman semua pihak untuk transformasi masa depan zakat dan wakaf di setiap peringkat. Manakala YBrs. Dr. Ridzwan Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM pula berkata YWM berbangga berada di barisan hadapan platform global ini. Dengan WZWF, YWM berhasrat memperkukuh kerjasama antarabangsa, membuka potensi wakaf sebagai instrumen mampan, serta meningkatkan keyakinan penyumbang, penerima manfaat dan rakan global.”
Dengan tema “Wakaf & Zakat Global Baharu – Penyelesaian Inovatif bagi Cabaran Kontemporari dan Pembangunan Sosioekonomi serta Digital Masa Hadapan”, WZWF 2025 akan menampilkan sesi pleno oleh pakar, perbincangan dasar, bengkel interaktif dan Sesi Pertukaran Solusi yang memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai transformasi digital, pelaburan berimpak serta kerjasama rentas sempadan bagi pembangunan sektor kewangan Islam khususnya zakat dan wakaf.
Forum ini bukan sahaja medan perbincangan, malah berperanan sebagai pemangkin idea baharu, pembangunan inklusif dan perkongsian transformatif seterusnya memperkukuhkan zakat dan wakaf sebagai instrument penting dalam persekitaran sosioekonomi global.
SUMBER:
Yayasan Waqaf Malaysia
Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia
#Prezcom