
Lorong Pekan 27/08/2025
Pop-Up Patriotik Bakal Hidupkan Alor Setar Pada Malam MerdekaALOR SETAR, 26 Ogos 2025 – Suasana malam sambutan Hari Kebangsaan di Kedah dijangka lebih meriah tahun ini apabila Lorong Malinja atau lebih dikenali sebagai Starwalk, Alor Setar akan menjadi lokasi penganjuran acara pop-up bertemakan patriotik, “Lorong Pekan 2025”, pada 31 Ogos bermula jam 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
Acara ini dianjurkan oleh Lorong Pekan Management dengan sokongan penuh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), sekali gus menandakan sinergi antara pihak berkuasa tempatan, penggiat seni dan komuniti niaga kecil. Menurut Pengurus Acara, Puan Aina Safiah Noorhaizat, penganjuran kali ini adalah inisiatif untuk menyemarakkan semangat patriotisme, khususnya dalam kalangan anak muda, di samping meraikan kepelbagaian budaya dan keunikan warisan negeri Kedah.
Seperti siri pop-up terdahulu yang pernah dianjurkan Lorong Pekan di Pekan Rabu, Ukir Mall dan Souq al-Bukhary, acara tahun ini tampil dengan kelainan kerana buat pertama kali ia diadakan khusus bersempena Hari Kebangsaan. Pelbagai segmen telah dirangka bagi memberikan pengalaman yang menyatukan hiburan, seni dan nilai kebangsaan dalam satu ruang yang inklusif.
Antara pengisian yang bakal mencuri perhatian ialah persembahan qasidah daripada kumpulan Al-Mawaddah, tazkirah ambang Merdeka oleh pendakwah media sosial Ustaz Aiman Nasir, serta deklamasi puisi oleh sasterawan Kedah, Hamizun Syah. Acara turut diserikan dengan persembahan tarian tradisional berbilang kaum, demonstrasi Silat Gayong Kedah dengan iringan gendang silat, serta monolog Merdeka oleh penggiat teater tempatan, Awang Mohamad Fiqri Haqimi.
Segmen komuniti pula menampilkan pertandingan pertunjukan fesyen bertema kebangsaan sebagai ruang inspirasi kepada rekaan busana kreatif anak tempatan. Kanak-kanak tidak ketinggalan diraikan melalui pertandingan mewarna Jalur Gemilang yang membolehkan mereka menghayati simbol kebangsaan dengan cara yang lebih kreatif dan menyeronokkan. Bagi penggemar gaya retro pula, pameran motosikal klasik vespa akan menjadi salah satu daya tarikan utama.

Selain hiburan dan persembahan seni, acara ini juga membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil apabila lebih banyak gerai makanan, hasil seni dan barangan cenderamata tempatan ditawarkan sepanjang malam. Penganjur turut merancang gimik khas menjelang detik jam 12 malam, sebagai kemuncak meraikan Hari Kemerdekaan ke-68 negara.
Penganjuran Lorong Pekan 2025 bukan sahaja dirangka untuk menghiburkan, malah berfungsi sebagai platform untuk menghubungkan masyarakat berbilang kaum dalam suasana harmoni. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia Madani: Rakyat Disantuni yang menekankan semangat kebersamaan, penghargaan terhadap budaya, dan keterangkuman sosial.
Dengan rekod lebih 60 penganjuran pop-up event sebelum ini, Lorong Pekan Management yakin sambutan kali ini akan lebih hangat berikutan promosi besar-besaran melalui media sosial dan jaringan komuniti setempat. MBAS pula melihat acara ini sebagai model berkesan dalam mengaktifkan ruang bandar dengan aktiviti yang bukan sahaja menarik, tetapi memberi limpahan manfaat ekonomi dan sosial kepada warga Alor Setar.
Lorong Pekan 2025 dijangka menjadi titik tumpuan rakyat Kedah untuk meraikan malam Merdeka dengan cara yang lebih berwarna-warni, beridentiti dan penuh makna. Ia bukan sekadar acara sementara, tetapi aspirasi untuk menjadikan Alor Setar sebagai nadi kebudayaan, warisan dan patriotisme di Utara tanah air.

Sinopsis Acara Pop-Up Event Lorong Pekan
1. Persembahan qasidah daripada kumpulan Qasidah Al-Mawaddah yang terdiri daripada 10 ahli.
2. Tazkirah ambang merdeka oleh Ustaz Aiman Nasir merupakan seorang pempengaruh media sosial bahagian dakwah yang bergiat aktif menyampaikan ilmu agama dan nasihat kepada masyarakat.
3. Persembahan mendeklamasi puisi oleh Encik Hamizun Syah. Ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang masih bergiat aktif dalam dunia kesusasteraan khususnya negeri Kedah.
4. Pertandingan pertunjukan fesyen inisiatif sebagai rujukan dan inspirasi kepada rakyat Kedah dalam menghasilkan pelbagai busana kreatif pada masa akan datang.
5. Tarian tradisional yang meraikan kepelbagaian budaya dalam bentuk persembahan tarian.
6. Persembahan silat gayong Kedah diiringi muzik gendang silat iaitu seni pertahanan diri yang memartabatkan seni warisan Melayu.
7. Persembahan monolog merdeka oleh penggiat seni teater iaitu Awang Mohamad Fiqri Haqimi.
8. Gimik merdeka menjelang detik 31 Ogos 2025.
9. Gerai jualan dan hasil seni yang mempamerkan pelbagai juadah makanan dan barangan cenderamata berasal dari Kedah.
10. Pameran vespa iaitu pameran motosikal klasik vespa yang ikonik, menjadi daya tarikan pencinta retro dan koleksi unik.
11. Pertandingan mewarna jalur gemilang iaitu aktiviti khas untuk kanak-kanak dalam menghayati simbol kebangsaan melalui kreativiti seni.
#Prezcom