
SHAH ALAM, 23/08/2025
Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig yang dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan dikritik kerana terlalu memberi tumpuan kepada sektor e-hailing dan p-hailing, sedangkan ekosistem pekerjaan gig di Malaysia jauh lebih luas dan berbilang subsektor.
Penyelidik Dasar Ekonomi Gig, Dr Muhammad Afiq Redzuan, berkata kecenderungan untuk hanya menumpukan kepada dua sektor paling lantang itu boleh menimbulkan ‘bias sektoral’ yang akhirnya menjejaskan pekerja dalam bidang lain. Beliau menegaskan bahawa realiti ekonomi gig merangkumi pelbagai bentuk pekerjaan, termasuk penciptaan kandungan digital, pengajaran dalam talian, reka bentuk bebas, penterjemahan, serta sokongan teknologi yang semakin penting dalam pasaran kerja moden.
“Diskusi awam yang banyak digerakkan oleh NGO dalam sektor e-hailing dan p-hailing telah menenggelamkan suara subsektor lain. Jika kerangka undang-undang hanya dibina berdasarkan pengalaman dua subsektor itu, kita berisiko membentuk dasar yang sempit dan tidak mencerminkan realiti sebenar industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Afiq mencadangkan agar Malaysia menubuhkan sebuah Makmal Dasar Ekonomi Gig Nasional yang berfungsi menghimpunkan kerajaan, syarikat platform antarabangsa dan tempatan, persatuan pekerja gig pelbagai sektor, pertubuhan pengguna, serta ahli akademik. Melalui dialog berstruktur, katanya, semua pihak boleh bersama-sama membangunkan model dasar yang melindungi pekerja tanpa menjejaskan fleksibiliti serta inovasi yang menjadi nadi utama ekonomi gig.
Selain itu, beliau turut mengusulkan penubuhan Dana Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP Fund) khusus bagi ekonomi gig. Platform antarabangsa boleh menyumbang secara berkadar, sama seperti penyedia telekomunikasi yang menyokong dana kesalinghubungan negara. Dana ini boleh dimanfaatkan bagi menyediakan manfaat mudah alih seperti perlindungan sosial, insurans atau pencen mikro yang boleh dibawa oleh pekerja ke mana-mana platform.
“Dengan cara ini, kebajikan pekerja gig lebih terjamin, tanpa mengira lokasi operasi syarikat. Malaysia tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada kesediaan syarikat platform, sebaliknya memiliki instrumen nasional yang melindungi pekerja,” katanya.
Sebagai penyelidik yang pernah meneliti model pekerjaan fleksibel di ASEAN, Eropah dan Amerika Syarikat, beliau menegaskan Malaysia masih mempunyai peluang menjadi perintis kepada rangka kerja dasar gig yang seimbang. Katanya, pengalaman negara lain menunjukkan bahawa langkah tergesa-gesa hanya membawa kepada kegagalan dasar.
“Kita mesti belajar daripada kesilapan global. Regulasi ekonomi gig bukan soal mengejar tarikh, tetapi soal merangka undang-undang dengan pandangan jauh, merangkumi semua sektor dan memastikan keseimbangan antara perlindungan serta kelestarian. Malaysia kini berada di titik penentu. RUU ini boleh menjadi pemangkin kepada kesejahteraan berjuta-juta rakyat atau sebaliknya menjadi kesilapan dasar yang melemahkan seluruh industri. Kita tidak boleh mengambil risiko itu,” tegasnya.
RUU Pekerja Gig yang bakal dibentangkan minggu depan dijangka menjadi perbahasan hangat, bukan sahaja kerana ia menyentuh periuk nasi ratusan ribu pekerja, tetapi juga kerana ia akan menentukan daya tahan industri digital negara untuk jangka panjang. Persoalannya kini, adakah Parlimen mampu meluluskan undang-undang yang inklusif dan berpandangan jauh, atau Malaysia bakal mengulangi kesilapan yang pernah menghantui negara lain?
#Prezcom