Coach Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari di Program Supercharger anjuran Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) dan Universiti Malaysia Sabah

Oleh: Ts. Coach Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari

Ada sesuatu yang paradoks berlaku di hadapan mata kita. Dunia begitu sibuk melabur dalam kecerdasan buatan (AI), dengan angkanya mencecah ratusan bilion ringgit di seluruh dunia. Namun, hasilnya tidak seindah yang dijanjikan. Kajian MIT pada tahun 2025 menunjukkan syarikat pembuatan yang mengaplikasikan AI mengalami penurunan produktiviti sehingga 60 mata peratusan sebelum mereka mampu meraih keuntungan sebenar. Di bidang perisian pula, kajian oleh Model Evaluation & Threat Research (METR) mendapati pembangun berpengalaman menjadi 19 peratus lebih perlahan apabila menggunakan alat AI, walaupun mereka percaya sebaliknya. Fenomena ini digelar lembah penerimaan (adoption valley)—fasa sukar yang sering datang bersama setiap revolusi teknologi baharu.

Jika kita menoleh ke belakang, coraknya sentiasa sama. Pada awal kemunculan komputer peribadi, produktiviti pejabat menurun kerana pekerja berbulan-bulan belajar menggunakan perisian baharu, berhadapan dengan sistem yang kerap tergendala. Hanya selepas hamparan elektronik seperti Excel dan pangkalan data dicipta, barulah komputer benar-benar menjadi pemacu produktiviti.

Ketika internet mula-mula diperkenalkan pula, laman sesawang sekadar menjadi brosur digital yang membazir kos. Revolusi sebenar hanya berlaku apabila e-dagang, enjin carian dan media sosial muncul. Begitu juga dengan telefon pintar. Pada peringkat awal, ia dikritik sebagai gajet mewah yang menyusahkan. Tetapi apabila wujudnya ekosistem aplikasi, seluruh cara hidup dan perniagaan berubah.

Setiap kali teknologi baharu lahir, ia bermula dengan penurunan produktiviti. Kemudian, setelah kita belajar menyesuaikan proses kerja dengan teknologi itu, barulah lonjakan sebenar berlaku.

Masalah utama bukan terletak pada AI itu sendiri, tetapi pada cara kita menggunakannya. Pekerja banyak menghabiskan masa untuk mencipta prompt yang betul, menyemak hasil yang “hampir betul tetapi tidak tepat”, dan membetulkan kod atau data yang dihasilkan. Tenaga mental yang sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah perniagaan akhirnya terbazir untuk menguruskan AI.

Lebih mendasar lagi, kita masih memaksa AI untuk dimuatkan ke dalam proses lama. Ini seperti memandu kereta lumba Ferrari hanya untuk menghantar surat, ia sememangnya boleh dilakukan, tetapi jelas membazir potensi sebenar sang Ferrari. AI sepatutnya membolehkan kita mereka bentuk aliran kerja baharu, bukan sekadar mempercepat cara kerja lama.

Sejarah memberi kita petunjuk bahawa untuk melonjak keluar dari lembah penerimaan, organisasi mesti berani membuat tiga anjakan besar. Pertama, mencari aliran kerja baharu yang benar-benar AI-native. Kedua, menyusun semula struktur organisasi agar peranan manusia dan mesin berjalan seiring, bukannya bersaing. Dan ketiga, membina kemahiran baharu—pekerja bukan sahaja perlu tahu bila mahu menggunakan AI, tetapi juga bila perlu mencabarnya dan bila perlu menolak cadangannya.

Tanda-tanda positif mula kelihatan. Kajian terkini menunjukkan pengguna AI yang menggunakannya setiap hari mencatat peningkatan produktiviti hampir 46.2 peratus. Malah, 92 peratus syarikat di seluruh dunia merancang meningkatkan pelaburan AI dalam tiga tahun akan datang. Syarikat baharu yang lebih kecil dan lincah juga mula menunjukkan adaptasi pantas, manakala syarikat besar masih bergelut dengan sistem lama yang membebankan.

Dalam konteks ASEAN, Malaysia sebenarnya berada di tengah-tengah persaingan yang sengit. Singapura masih mendahului dengan pegangan hampir 75 peratus pelaburan modal teroka AI rantau ini, bersamaan lebih USD 8 bilion, hasil ekosistem yang matang dan kerangka tadbir urus AI yang kukuh. Indonesia pula menunjukkan langkah berani dengan mengumumkan pelan AI nasional dan penubuhan sovereign AI fund melalui Danantara, yang dianggarkan mencecah USD 20 bilion. Microsoft sahaja sudah melabur lebih USD 1.7 bilion di Jakarta bagi membina pusat data dan melatih tenaga kerja.

Thailand agak ketinggalan, dengan kedudukan kesediaan AI pada ranking global 56 dan kedudukan inovasi di tangga 41. Namun, negara itu tetap giat membangunkan industri automasi dan mengorak langkah kecil dalam integrasi AI ke sektor perindustrian.

Malaysia pula semakin mendapat perhatian dengan pelaburan gergasi daripada Google, Microsoft, dan ByteDance, selain kerjasama strategik bersama NVIDIA dan YTL Power bernilai RM10 bilion untuk pusat data hijau. Kita juga sudah melancarkan model bahasa besar nasional yang dibina sepenuhnya dengan identiti budaya tempatan. Soalnya sekarang, mampukah kita keluar dari lembah penerimaan lebih pantas berbanding jiran serantau?

Paradoks AI ini memberikan satu pengajaran besar. Ia mengingatkan kita bahawa teknologi baharu tidak serta-merta membawa hasil, sebaliknya menuntut masa, keberanian, dan kesediaan untuk merombak cara kerja lama. Malaysia kini berada di persimpangan penting. Jika kita hanya melihat AI sebagai alat tambahan, kita akan terus terperangkap dalam lembah penerimaan. Tetapi jika kita berani menjadikannya sebahagian daripada DNA organisasi—merombak proses, membina ekosistem baharu, dan melatih tenaga kerja—maka kita mampu melonjak sebagai peneraju AI serantau.

AI bukan sekadar canggih. Ia adalah peluang untuk membina masa depan yang lebih inklusif, berdaya tahan, dan sesuai dengan budaya kita. Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia untuk keluar dari lembah ini dan menjadi pemimpin dalam perubahan?

Note: Pertanyaan untuk pembaca: Bagaimana organisasi anda menggunakan AI hari ini? Sebagai alat tambahan semata-mata, atau sudah menjadi denyut baharu yang mengubah cara kerja sepenuhnya?

#Prezcom

Ts. Megat Zainurul Anuar Bin Megat Johari

———–
Penulis | Penggerak Sosial | Innovator & Business Coach

Dengan keyakinan bahawa kata-kata mampu mengubah dunia, Ts. Megat Zainurul Anuar membina jambatan antara profesionalisme dan kemanusiaan. Dengan latar belakang Sarjana Sains dalam Pengurusan Maklumat dan pengalaman lebih 20 tahun membimbing syarikat utama Malaysia, beliau telah memilih pen sebagai instrumen perubaannya.

Sebagai Business Coach dan Certified National Competency Standard Trainer, Megat telah membantu banyak syarikat korporat dan agensi kerajaan di Malaysia seperti Sime Darby, Coway Malaysia, INTAN(Institut Tadbiran Awam Malaysia), MAMPU (Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia) dan banyak lagi. Namun, pencapaian terbesarnya terletak pada program SAY LEAD PRO MALAYSIA, di mana beliau memberdayakan usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah inspirasi DYTM, Tengku Amir Shah.

Megat percaya setiap naratif mempunyai kuasa untuk membuka minda dan menyentuh hati. Melalui penulisannya, beliau berjuang mendedahkan kebenaran, mencabar status quo, dan menyuarakan mereka yang tidak bersuara.

“Perubahan bermula dengan keberanian untuk melihat, memahami, dan bertindak.”

———–

Disclaimer:

Aritikel ini adalah sumbangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian PrezCom.