
BANGI, 19/08/2025
Komitmen negara dalam teknologi nuklear secara aman terus diperkukuh melalui Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dan hasrat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk memastikan pembangunan teknologi nuklear di Malaysia dilaksanakan secara aman, selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat.
Komitmen ini diterjemahkan melalui pelaksanaan Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (Comprehensive Nuclear-Test-Ban Treaty, CTBT). Malaysia menandatangani CTBT pada 23 Julai 1998 dan meratifikasinya pada 17 Januari 2008. Sejak itu, Nuklear Malaysia selaku Pihak Berkuasa Kebangsaan CTBT mengendalikan dua kemudahan utama di bawah rangka kerja CTBT Organization (CTBTO) iaitu dalam rantaian Stesen Pemantauan Radionuklid RN42 di Cameron Highlands dan Pusat Data
Kebangsaan CTBT (MY-NDC) di Nuklear Malaysia, Bangi. Kedua-dua kemudahan ini berperanan untuk memantau atau mengesan radionuklid yang terhasil daripada letupan nuklear global. Pusat data juga berperanan membekalkan maklumat seismik, infrasound dan hydroacoustic untuk kegunaan saintifik dan awam termasuk menyokong Sistem Amaran Awal Tsunami Kebangsaan. Usaha ini memperkukuh peranan Malaysia dalam memastikan kemudahan yang ada menyumbang kepada keselamatan awam, penyelidikan saintifik dan kesejahteraan masyarakat.
Penglibatan aktif Malaysia diiktiraf Suruhanjaya Persediaan CTBTO. Pengiktirafan ini dizahirkan melalui lawatan rasmi Setiausaha Eksekutif CTBTO, Dr. Robert Floyd ke Malaysia pada 13 hingga 18 Ogos 2025. Lawatan ini merangkumi kunjungan ke Stesen Pemantauan Radionuklid RN42, Pusat Data Kebangsaan CTBT (MY-NDC) dan pertemuan dengan Pengurusan Tertinggi Kementerian Sians, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membincangkan kerjasama bagi memperkukuh kapasiti teknologi CTBT di Malaysia.
Selain itu, Dr. Robert turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Luar Negeri bagi membincangkan peranan CTBT selaras dengan pendirian Malaysia terhadap pelucutan senjata nuklear, keamanan serantau dan global serta keutamaan memastikan teknologi nuclear digunakan hanya untuk tujuan aman, selamat dan bertanggungjawab.
Bersempena lawatan ini, Nuklear Malaysia turut menganjurkan Kolokium Kebangsaan CTBT untuk memberi pendedahan kepada pemegang taruh, institusi penyelidikan dan universiti mengenai manfaat data CTBT bagi keselamatan, penyelidikan saintifik dan kesejahteraan masyarakat.
SUMBER: Bahagian Komunikasi Korporat Jabatan Penerangan Malaysia. Unit Komunikasi Korporat, Agensi Nuklear Malaysia
#Prezcom