Proton Wira 1993 Crash Test-Malaysian Institute of Road Safety Research

MELAKA, 11/8/2025

Dentuman itu kedengaran singkat namun cukup untuk membuatkan semua yang berada di makmal Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan (PC3) Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) di Ayer Molek terpaku. Dalam tempoh kurang daripada satu saat, sebuah Proton Wira 1993 yang dipandu uji pada kelajuan 62 kilometer sejam menghentam dinding konkrit, memusnahkan hampir sepertiga bahagian hadapannya. Sisa kaca bertaburan, panel logam remuk, dan bentuk asal kenderaan itu berubah sudah tentunya menjadi amaran jelas bahawa kenderaan lama tidak mampu menandingi tahap keselamatan moden.

Kenderaan berwarna putih itu, model 1.5 GL daripada kumpulan pengeluaran pertama Wira yang pernah menjadi antara sedan paling popular di Malaysia, disumbangkan oleh wartawan automotif berpengalaman dan pengasas Careta, Hezeri Samsuri. Beliau pada mulanya berhasrat memulihara kereta tersebut, namun kemudian memutuskan untuk menyerahkannya bagi tujuan ujian perlanggaran, demi meningkatkan kesedaran awam mengenai jurang besar tahap keselamatan antara kenderaan era 1990an dan model baharu.

Walaupun ujian ini tidak dijalankan di bawah penarafan rasmi ASEAN NCAP, ia menggunakan fasiliti, kamera berkelajuan tinggi, pencahayaan, serta prosedur yang setaraf dengan piawaian ujian antarabangsa. Perbezaan utamanya hanyalah pada subjek ujian – sebuah kereta yang direka sebelum wujudnya piawaian keselamatan moden.

Apabila hentaman berlaku, ketiadaan zon lenyap (crumple zone) menyebabkan tenaga perlanggaran mengalir terus ke dalam ruang penumpang. Bahagian hadapan tertolak ke belakang, memampatkan kabin sehingga jarak antara papan pemuka dan tempat duduk pemandu berkurangan dengan mendadak. Stereng yang sepatutnya berbentuk bulat berubah rupa apabila menekan ke arah abdomen patung ujian (dummy) pemandu. Lebih membimbangkan, kepala patung kanak-kanak yang diletakkan di kerusi penumpang hadapan terhentak kuat pada papan pemuka kerana ketiadaan beg udara.

Pasukan teknikal yang cuba membuka pintu selepas hentaman mendapati kesemua empat pintu terkunci rapat akibat mampatan struktur kereta. Lima kru berpengalaman, lengkap dengan peralatan, tidak berjaya membukanya. Dalam situasi kemalangan sebenar, keadaan ini akan menyukarkan orang awam memberi bantuan segera sebelum pasukan penyelamat tiba dengan peralatan khas seperti Jaws of Life.

Walaupun Wira generasi ini dilengkapi palang besi perlindungan hentaman sisi serta penambahbaikan berbanding model Proton Iswara tetapi teknologi keselamatannya masih jauh ketinggalan. Bagi pakar keselamatan, ujian ini membuktikan bahawa persepsi “kereta lama lebih kukuh kerana keluli tebal” adalah tidak tepat. Hakikatnya, kereta moden direka untuk menyerap impak pada bahagian hadapan dan memelihara keutuhan kabin penumpang.

Perbandingan ini jelas menunjukkan bahawa walaupun bersaiz kecil, model seperti Perodua Axia, Bezza atau Proton Saga generasi baharu menawarkan tahap perlindungan yang lebih baik berbanding kenderaan keluaran tiga dekad lalu.

Ramai pemilik mungkin menyimpan kenderaan lama atas sebab sentimental atau nilai klasiknya. Namun, ujian ini membuktikan bahawa nilai nostalgia tidak seharusnya mengatasi keselamatan nyawa. Pemilik dinasihatkan menghadkan penggunaan kenderaan lama untuk acara khas atau jarak dekat sahaja, serta memastikan komponen kritikal seperti sistem brek dan tayar berada dalam keadaan terbaik.

Ujian perlanggaran Proton Wira 1993 di makmal Miros PC3 ini mungkin menandakan “penghujung hayat” sebuah ikon automotif negara, namun mesej yang dibawanya adalah jelas iaitu keselamatan jalan raya bukan sekadar bergantung kepada kemahiran pemanduan, tetapi juga pada teknologi perlindungan kenderaan yang membawa kita ke destinasi setiap hari.

#Prezcom