
PETALING JAYA, 11/8/2025
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan janjinya untuk memansuhkan semua baki hutang pinjaman pelajar Sabah sekiranya parti itu membentuk kerajaan negeri selepas pilihan raya akan datang bukan sekadar retorik politik, sebaliknya mampu dilaksanakan secara kewangan.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau mempunyai pengalaman menguruskan hutang besar ketika memimpin kerajaan negeri pada 2019, termasuk melunaskan hutang RM1 bilion yang diwarisi daripada Barisan Nasional (BN) sebelum tempoh matang bon Persekutuan.
“Kalau saya boleh bayar hutang BN, kenapa tidak boleh kita bayar hutang anak-anak kita?” katanya seperti dipetik portal Malaysiakini, sambil menegaskan bahawa pembiayaan tersebut boleh dilaksanakan melalui hasil daripada konsesi pembalakan yang disalurkan terus kepada Yayasan Sabah khusus untuk tujuan pendidikan.
Shafie mendakwa beliau mengetahui konsesi balak yang boleh diperuntukkan kepada yayasan tersebut bagi membiayai pelunasan hutang pendidikan anak-anak Sabah. “Kemudian Yayasan Sabah boleh guna dana itu untuk membayar hutang pelajar kita,” katanya lagi.
Namun, cadangan tersebut menerima reaksi berbeza daripada pertubuhan belia tempatan. Majlis Belia Sabah (MBS) dalam kenyataannya pada Selasa menyifatkan janji itu berisiko menjadi beban kewangan yang besar, walaupun Warisan berjaya melaksanakannya.
Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata adalah lebih wajar sekiranya kerajaan menyalurkan subsidi 50 peratus bagi pinjaman pelajar, khususnya kepada golongan yang benar-benar memerlukan, agar dana negeri tidak terjejas dan sektor-sektor lain masih dapat menerima peruntukan sewajarnya.
Cadangan pemansuhan penuh hutang pelajar ini dijangka menjadi antara isu utama dalam kempen pilihan raya negeri akan datang, dengan penyokong melihatnya sebagai pelaburan masa depan anak muda, manakala pengkritik pula menganggap ia berpotensi menjejaskan keseimbangan kewangan negeri jika tidak diurus dengan teliti.
#Prezcom