Penumpang Islam Dihidangkan Daging Babi dalam Penerbangan Singapore Airlines

SINGAPURA, 8/8/ 2025

Syarikat penerbangan nasional Singapura, Singapore Airlines (SIA), memohon maaf secara terbuka selepas seorang penumpang Muslim dalam kelas perniagaan mendakwa telah dihidangkan makanan mengandungi daging babi semasa penerbangan jarak jauh dari Singapura ke New York. Insiden itu menimbulkan kecaman awam apabila didapati berlaku akibat kecuaian kru kabin yang gagal mengenal pasti bahan makanan “prosciutto” sebagai daging babi.

Penumpang terbabit, yang dikenali sebagai Jey dan merupakan penduduk tetap Singapura, berkata beliau telah menempah makanan Muslim untuk hidangan ringan, namun memilih menu “Book the Cook” untuk hidangan tengah hari. Dalam satu daripada sesi hidangan di atas pesawat SQ24, beliau diberikan menu bertajuk “Grilled Mediterranean Salad with Prosciutto” dan terus bertanya kepada kru sama ada hidangan itu mengandungi bacon. Menurut Jey, kru terbabit menjawab “tidak”, dan mengesahkan ia selamat dimakan.

Namun, selepas merasa hidangan itu yang dianggap “asing”, Jey mengambil inisiatif menyemak maksud sebenar prosciutto di dalam talian dan terkejut mendapati ia merupakan sejenis daging babi yang diawet secara tradisional.

Apabila Jey mempersoalkan kesilapan tersebut, kru kabin didakwa memberi alasan bahawa mereka “mungkin tersalah dengar” pertanyaan beliau. Malah, menurut laporan portal berita Mothership, kakitangan yang menghidangkan makanan itu merupakan kru junior yang tidak tahu bahawa prosciutto ialah daging babi.

Selepas kejadian itu, SIA menawarkan pampasan dalam bentuk baucar KrisShop bernilai S$150 (kira-kira RM490), kemudian ditambah dengan 15,000 mata ganjaran KrisFlyer, sebelum dinaikkan kepada 30,000 mata. Namun semua tawaran ini ditolak mentah-mentah oleh Jey, yang menyifatkan ia sebagai “menyedihkan dan menghina” terhadap kepercayaannya sebagai seorang Muslim.

“Tiada sesiapa yang berpegang pada kepercayaan sama ada Muslim, Yahudi, Hindu atau agama lain yang akan sanggup melanggar pantang larang agama demi 30,000 mata penerbangan,” kata beliau, sambil menjelaskan bahawa tiket kelas perniagaan yang dibelinya menelan belanja hampir S$10,000.

Dalam siasatan selanjutnya, SIA mengesahkan bahawa kru kabin “tidak pasti” sama ada prosciutto mengandungi babi ketika hidangan disajikan, dan kesilapan berlaku kerana tiada pengesahan lanjut dilakukan sebelum penyajian. Lebih memburukkan keadaan, hidangan tersebut juga tidak disertakan label “pork” secara jelas, walaupun kebiasaannya menu SIA menanda hidangan mengikut kandungan utama.

Mothership turut melaporkan bahawa SIA telah mengakui kelonggaran dari sudut prosedur dalaman, terutamanya melibatkan penerbangan jarak jauh seperti SQ24 yang menawarkan tiga hidangan kepada penumpang. Bagi penumpang yang mempunyai pantang larang agama atau keperluan diet khas, SIA menasihatkan agar tempahan “special meals” dibuat untuk kesemua sesi hidangan, bukan hanya satu.

Syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa mereka telah “memperkemaskan latihan dan prosedur perkhidmatan kru kabin” selepas insiden berkenaan, dan sedang berhubung secara langsung dengan Jey bagi menyelesaikan perkara ini.

Kejadian ini sekali lagi menimbulkan persoalan besar terhadap kecekapan dan kepekaan syarikat penerbangan dalam menangani sensitiviti agama, terutama dalam penerbangan bertaraf antarabangsa yang menawarkan makanan kepada pelbagai latar belakang pelanggan. Bagi umat Islam, larangan mengambil daging babi adalah jelas dan melibatkan isu akidah, bukan sekadar diet.

Ramai pengguna di media sosial menyuarakan kebimbangan bahawa walaupun SIA dikenali dengan standard perkhidmatan tinggi, kegagalan memahami kandungan asas makanan seperti prosciutto dalam kalangan kru adalah kecuaian yang tidak wajar.

Mereka turut menyokong tindakan Jey yang menolak pampasan dan menegaskan prinsip, serta menyeru SIA agar menilai semula sistem latihan kru kabin, penandaan makanan serta protokol dalaman supaya kesilapan serupa tidak berulang.

Kesilapan memberi hidangan mengandungi babi kepada penumpang Muslim tidak boleh dianggap remeh. Ia mencerminkan kegagalan prosedur, kekurangan pengetahuan asas dan ketidakpekaan terhadap kepercayaan agama yang sepatutnya dihormati tanpa kompromi.

Permohonan maaf dan pampasan mungkin membantu memadam kesan reputasi, tetapi kepercayaan hanya akan pulih melalui tindakan sebenar  termasuk penambahbaikan sistem, latihan, dan rasa hormat yang tulus terhadap pelanggan dari semua latar belakang.

Sumber: Mothership – Singapore Airlines apologises after Muslim passenger served pork on flight
Muslim man on SIA flight served prosciutto, asks if it’s pork, allegedly told it’s not & ends up eating it – Mothership.SG – News from Singapore, Asia and around the world

#Prezcom