
KUALA LUMPUR, 31/7/2025.
Seramai 16,800 individu telah dikenakan sekatan perjalanan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara Januari hingga Mei 2025 kerana gagal menjelaskan tunggakan cukai sebanyak RM1.2 bilion. Langkah drastik ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi meningkatkan tahap pematuhan cukai dalam kalangan rakyat Malaysia.
Laporan susulan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dikeluarkan pada Rabu lalu mendedahkan, langkah sekatan perjalanan ini adalah sebahagian daripada strategi LHDN bagi memastikan cukai yang dinilai dapat dikutip dengan cekap dan tidak menjadi tunggakan jangka panjang.
PAC turut melaporkan, jumlah tunggakan cukai yang belum dijelaskan pada tahun 2023 adalah RM34.59 bilion, iaitu penurunan sebanyak 14.3% berbanding RM40.39 bilion pada tahun 2022. Pengurangan ini kebanyakannya disebabkan oleh pelarasan semula penilaian cukai serta pelupusan cukai tidak boleh kutip seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 3/2024.
LHDN kini sedang giat melaksanakan beberapa inisiatif termasuk operasi penguatkuasaan agresif untuk menjejaki pembayar cukai ingkar, menyediakan skim ansuran pembayaran cukai tertunggak, pengeluaran automatik notis tunggakan cukai, serta mengenakan sekatan perjalanan terhadap mereka yang culas.
Selain itu, inisiatif e-invois kebangsaan yang diperkenalkan sejak Ogos 2024 telah mencatatkan kejayaan dengan 283 juta e-invois berjaya dihantar dan disahkan, melibatkan hampir 29,000 pembayar cukai. Pada Mac 2025, sistem MyInvois e-POS turut dilancarkan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengguna pakai sistem ini secara percuma.
PAC telah mencadangkan lima tindakan utama kepada Kementerian Kewangan dan LHDN bagi memperbaiki lagi kecekapan operasi kutipan cukai. Antara cadangan yang dikemukakan termasuk meningkatkan penguatkuasaan, memperbaiki proses audit dan penilaian bagi mengurangkan rayuan, mengetatkan undang-undang untuk mengelakkan ketirisan dan penipuan cukai, mengemas kini status pelaksanaan e-invois kebangsaan serta memperkasakan pendidikan awam berkaitan kepatuhan cukai khususnya dalam sektor ekonomi digital.
Laporan PAC ini jelas menekankan keperluan mendesak kerajaan untuk bertindak lebih tegas dan sistematik dalam menangani isu tunggakan cukai demi menjaga kestabilan fiskal negara. Langkah sekatan perjalanan yang diambil terhadap individu culas ini merupakan peringatan keras kepada rakyat agar segera melaksanakan tanggungjawab cukai masing-masing.
#Prezcom