
KUALA LUMPUR, 30/7/2025.
Hutang kerajaan persekutuan Malaysia telah meningkat kepada RM1.3 trilion pada akhir bulan Jun 2025 dan telah mencetuskan kebimbingan awam. Dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menjelaskan bahawa peningkatan hutang dari RM1.25 trilion pada akhir tahun 2024 disebabkan oleh keperluan pembiayaan untuk perbelanjaan pembangunan. Ini merangkumi pelbagai projek infrastruktur awam, pendidikan, penjagaan kesihatan serta program perlindungan sosial.
Beliau menyatakan bahawa kadar pertumbuhan hutang yang semakin perlahan ini menunjukkan keberkesanan langkah-langkah kerajaan dalam menguruskan kewangan negara secara lebih bertanggungjawab. Antara langkah utama termasuk meluaskan asas hasil negara, mengoptimumkan perbelanjaan awam melalui rasionalisasi subsidi, serta melaksanakan kajian semula perbelanjaan secara komprehensif.
Kerajaan turut mengehadkan jaminan kewangan pada tahap 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam, selain memperkenalkan Model Perkongsian Awam-Swasta (PPP) melalui Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) bagi mengurangkan tekanan fiskal.
Lim turut mendedahkan bahawa jumlah liabiliti keseluruhan, termasuk jaminan komited dan obligasi perkongsian awam-swasta, adalah sebanyak RM384.6 bilion pada akhir Mac 2025. Angka ini mencatat sedikit penurunan berbanding RM384.8 bilion pada akhir tahun 2024.
Untuk memperkukuhkan tadbir urus dan kebertanggungjawaban, kerajaan sedang dalam proses menggubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan serta satu lagi rang undang-undang khas bagi mengawal selia syarikat milik kerajaan.
Kadar hutang negara yang semakin tinggi menimbulkan kebimbangan tentang kemampuan kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi masa depan, terutama dalam persekitaran global yang tidak menentu. Pakar ekonomi tempatan menggesa kerajaan supaya mengambil langkah-langkah konkrit bagi memastikan hutang digunakan secara strategik dalam pembangunan ekonomi negara.
Peningkatan hutang yang perlahan ini juga mencerminkan pendekatan kerajaan yang lebih berhati-hati dalam pengurusan fiskal, khususnya dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat faktor luaran seperti ketidaktentuan pasaran global dan tekanan inflasi yang meningkat.
Langkah-langkah proaktif yang dilaksanakan kerajaan dalam mengurus hutang persekutuan wajar mendapat sokongan semua pihak. Rakyat diseru agar sentiasa cakna terhadap perkembangan ekonomi negara dan memberi kerjasama penuh kepada inisiatif kerajaan dalam menjamin kestabilan kewangan negara demi kesejahteraan generasi akan datang.
#Prezcom