
KUALA LUMPUR, 29/7/2025.
Tiga individu yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan telah dikenal pasti menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ palsu, mengakibatkan kerugian hampir RM500,000 melibatkan sekurang-kurangnya enam mangsa. Sindiket ini terbongkar setelah dokumen palsu seperti watikah dan kad ahli istana didedahkan dalam satu sidang media di Wisma MCA, Kuala Lumpur hari ini.
Datuk Lembaga Tiang Balai, Balai Rasmi Undang Luak Johol, Datuk Raja Balang Hamzah Limin dalam sidang media tersebut mengesahkan bahawa semua dokumen termasuk watikah, kad akuan dan kad ahli istana yang digunakan ketiga-tiga suspek tersebut adalah palsu.
Beliau menjelaskan, versi dokumen yang digunakan telah lama tidak lagi diiktiraf sejak pelantikan Undang Luak Johol ke-15. Tambahnya lagi, penggunaan gelaran atau lambang istana secara tidak sah, termasuk pada kenderaan, adalah dilarang sama sekali.
“Tiada istilah seperti ‘Ahli Istana Ahli Angkat’ dalam struktur rasmi kami,” katanya lagi.
Sebelum ini, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam Persatuan Cina Malaysia, Datuk Seri Michael Chong mendedahkan bahawa antara mangsa ialah seorang wanita bergelar ‘Datin’ yang kerugian sebanyak RM400,000 akibat diperdaya oleh individu yang mengaku sebagai ‘Ahli Istana Anak Angkat’ bagi menarik keyakinan mangsa untuk melabur.
Datuk Raja Balang Hamzah turut menegaskan, sebarang pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat hanya sah jika dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sempena Hari Keputeraan Baginda di Istana Besar Seri Menanti sahaja.
“Pengurniaan yang berlangsung di luar Istana Besar Seri Menanti, sama ada di hotel atau kediaman persendirian, adalah tidak sah sama sekali,” jelas beliau.
Beliau menambah, pihaknya akan segera membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyalahgunakan gelaran dan lambang rasmi tanpa kebenaran.
Presiden Majlis Datuk Dato’ Malaysia, Datuk Samson Maman pula mendesak pihak berkuasa, khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara, supaya segera menyiasat sindiket yang disyaki turut memalsukan kad pengenalan.
“Kami hairan bagaimana sindiket ini boleh sesuka hati meletakkan alamat istana serta menggunakan gelaran seperti ‘Putri’ dalam kad pengenalan tanpa sebarang pengesahan yang sah,” kata Samson. Beliau turut memberi amaran kepada individu terbabit supaya menghentikan perbuatan ini sebelum dikenakan tindakan lebih keras.
Isu penyalahgunaan gelaran istana atau kebesaran palsu semakin menjadi perhatian di Malaysia, terutamanya melibatkan sindiket penipuan kewangan. Kejadian ini bukan sahaja merugikan mangsa dari segi kewangan tetapi turut mencemarkan institusi diraja serta integriti sistem pengurniaan gelaran kebesaran negara.
Sebagai langkah pencegahan, pihak berkuasa disarankan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta melaksanakan kempen kesedaran awam mengenai cara mengenal pasti penipuan sebegini.

Kes ini memberi amaran penting kepada masyarakat agar lebih berwaspada dalam menghadapi pelbagai bentuk penipuan. Pihak berkuasa juga dijangka akan memperketatkan lagi kawalan terhadap penyalahgunaan gelaran diraja bagi memastikan integriti dan maruah institusi beraja serta awam terus terpelihara.
#Prezcom