Sumbangan Asas Rahmah. Kredit Grafik; BERNAMA

SEMPORNA 27/7/2025.

Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 secara sekali beri yang bakal diagihkan pada 31 Ogos 2025 ini akan dimasukkan secara terus ke dalam kad pengenalan (MyKad) tanpa memerlukan sebarang proses pendaftaran atau permohonan, sekali gus memberi amaran keras kepada rakyat agar berhati-hati dengan sindiket penipuan yang aktif.

Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Zamzuri Abdul Aziz, berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau pelaksanaan program penunaian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Pulau Bum Bum, Semporna. Menurut beliau, pemberian bantuan ini tidak melibatkan mana-mana e-dompet atau orang tengah.

“Pemberian bantuan SARA ini tidak memerlukan pendaftaran, tiada pihak ketiga yang dilantik untuk membantu proses tersebut. Jika ada mana-mana pihak yang mendakwa mereka boleh membantu membuat permohonan atau menawarkan pautan ke e-dompet, itu adalah tidak benar dan merupakan scam,” tegas beliau.

Beliau menjelaskan bahawa rakyat yang layak menerima bantuan ini adalah warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas. Mereka boleh menebus bantuan tersebut secara tunai di kaunter premis-premis berdaftar SARA di seluruh negara mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025.

Pengumuman pemberian bantuan ini telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu sebagai usaha membantu rakyat Malaysia yang menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi dengan menyediakan bantuan segera untuk pembelian barangan asas.

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kes penipuan berkaitan bantuan kerajaan semakin meningkat di Malaysia. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan sebanyak 35% kes penipuan dalam talian melibatkan bantuan kewangan kerajaan pada tahun lalu sahaja.

Pakar keselamatan siber Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Amirul Azril Ahmad, berkata masyarakat perlu sentiasa berhati-hati dengan sebarang tawaran mencurigakan, terutamanya yang melibatkan data peribadi dan kewangan.

Beliau mencadangkan agar kerajaan mempergiatkan kempen kesedaran tentang keselamatan siber dan penipuan dalam talian serta menasihatkan rakyat supaya sentiasa menyemak maklumat dengan sumber rasmi kerajaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Rakyat Malaysia diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan tawaran mencurigakan yang kononnya ingin membantu mereka mendapatkan bantuan kerajaan. Semak maklumat hanya melalui saluran rasmi dan laporkan segera kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan.

#Prezcom