RM4 Bilion Telah Disalur Melalui STR

KUALA LUMPUR, 24/7/2025. Lebih RM4 bilion bantuan tunai telah disalurkan kepada lebih 8.5 juta rakyat Malaysia menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa pertama dan kedua sehingga Julai 2025, memberi manfaat langsung kepada 60% populasi dewasa negara, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan rasmi melalui laman sesawang Parlimen, pada Rabu, 23 Julai 2025, mengesahkan bahawa pembayaran STR tersebut adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM13 bilion bagi STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Jumlah ini meningkat berbanding peruntukan RM10 bilion sebelum ini.

“Kerajaan telah meningkatkan jumlah peruntukan bagi STR dan SARA ke tahap tertinggi sebanyak RM13 bilion berbanding RM10 bilion tahun sebelumnya, yang memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira sembilan juta penerima,” jelas kenyataan MOF.

Pembayaran STR masih berbaki dua fasa lagi yang dijadualkan berlangsung pada Ogos dan November tahun ini, memastikan bantuan tersebut sampai kepada kumpulan sasar dengan lebih efektif.

Bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sebanyak RM5 bilion diperuntukkan dengan peningkatan jumlah penerima secara drastik daripada 700,000 kepada 5.4 juta bermula April 2025. Sehingga 14 Julai 2025, seramai lebih 4.9 juta penerima telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan keperluan asas di kedai-kedai yang mengambil bahagian, mencatatkan kadar penggunaan sebanyak 92% dalam tempoh empat bulan sejak pengkreditan dibuat.

Kementerian menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memantau keadaan semasa bagi memastikan program bantuan tunai ini berjalan lancas, tepat sasaran dan membantu meringankan beban rakyat yang berhadapan cabaran peningkatan kos sara hidup.

Inisiatif STR dan SARA ini adalah antara langkah penting kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat Malaysia. Menurut Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), kenaikan kos barangan makanan sebanyak lebih 7% dalam tempoh dua tahun terakhir menjadikan program bantuan sebegini kritikal untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Ahmad Zubaidi Baharum dari Universiti Malaya menegaskan, “Bantuan tunai seperti STR dan SARA adalah langkah yang tepat untuk membantu rakyat dalam jangka pendek. Namun, kerajaan juga perlu melaksanakan strategi jangka panjang seperti kawalan harga barangan asas dan peningkatan gaji minimum secara berperingkat.”

Beliau turut mencadangkan agar mekanisme pemantauan dan penilaian keberkesanan bantuan ini sentiasa diperkasakan bagi memastikan ketirisan dapat dielakkan. Pengagihan STR dan SARA memperlihatkan usaha serius kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terjaga, namun langkah ini perlu diikuti dengan reformasi ekonomi yang lebih menyeluruh. Kerajaan telah menyatakan komitmennya untuk terus memantau dan menambah baik program bantuan ini demi kesejahteraan jangka panjang rakyat Malaysia.

#Prezcom