
KUALA LUMPUR, 21 Julai 2025. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lebih 2,000 anggota polis akan ditempatkan di sekitar ibu negara bagi memastikan kelancaran perhimpunan “Turun Anwar” yang dijadual berlangsung di Dataran Merdeka pada 26 Julai ini, dengan anggaran kehadiran peserta seramai 15,000 orang.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dalam kenyataannya memaklumkan, kehadiran pihak polis adalah bertujuan memastikan perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman dan teratur serta menjamin keselamatan orang ramai dan peserta yang terlibat.
Menurut beliau, setakat ini pihak polis tidak menghalang perhimpunan tersebut untuk diadakan, namun menegaskan bahawa peserta wajib mematuhi segala peraturan serta tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan provokasi. Peserta juga ditegaskan supaya tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan 3R iaitu kaum, agama, dan institusi diraja,” jelas beliau lagi.
Tambahnya, para peserta turut diingatkan agar tidak menyalakan sebarang objek api serta mengawal penggunaan pembesar suara agar tidak mengganggu ketenteraman awam. Beliau turut menekankan bahawa keamanan negara adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia.
Himpunan ini tercetus berikutan kritikan terbuka oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap pentadbiran semasa yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kritikan tersebut telah mencetuskan reaksi dalam kalangan rakyat, terutamanya pihak pembangkang yang mendesak perubahan kepimpinan negara.
Dijangka empat lokasi utama di ibu negara akan menjadi tempat berkumpul sebelum peserta berarak secara beramai-ramai ke lokasi utama di Dataran Merdeka menjelang jam 2 petang.
Pihak polis juga telah mengesahkan bahawa pada masa ini tiada keperluan untuk melaksanakan penutupan jalan. Walau bagaimanapun, langkah penutupan akan dipertimbangkan sekiranya situasi memerlukannya demi menjaga ketenteraman awam.
Orang ramai yang tidak terlibat dengan himpunan dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal dan mengikuti arahan pihak berkuasa sekiranya terdapat perubahan dalam aliran trafik.
Perhimpunan ini penting kerana ia melibatkan isu-isu sensitif seperti kestabilan politik, perpaduan rakyat, serta potensi gangguan kepada kegiatan ekonomi di sekitar Kuala Lumpur. Oleh itu, kawalan rapi pihak berkuasa serta kerjasama peserta amat diperlukan bagi memastikan keamanan dan keharmonian dapat dikekalkan sepanjang acara berlangsung.
PDRM akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat sebarang bentuk pelanggaran undang-undang atau ancaman keselamatan semasa perhimpunan berlangsung.
Seluruh rakyat Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa memelihara keharmonian dan kestabilan negara serta menghormati hak dan kebebalan setiap individu tanpa mencetuskan sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan negara.
#Prezcom