Malaysia Tersasar Sasaran Defisit Fiskal – Risiko Ekonomi Negara Meningkat!

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2025. Malaysia dijangka tidak mencapai sasaran defisit fiskal bagi tahun ini ekoran peningkatan perbelanjaan yang melampaui unjuran asal serta penurunan hasil pendapatan negara, demikian menurut laporan terbaharu BMI, anak syarikat Fitch Solutions.

Dalam laporan itu, BMI menyatakan bahawa defisit fiskal Malaysia dijangka mengecil kepada 4.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 4.1 peratus tahun lalu. Angka ini bagaimanapun masih melangkaui sasaran rasmi kerajaan iaitu 3.8 peratus, sekaligus melambatkan matlamat kerajaan untuk menurunkan defisit kepada 3 peratus menjelang tahun 2028.

Kegagalan mencapai sasaran defisit ini memberikan impak negatif kepada Malaysia yang sebelum ini mempunyai penarafan kredit tertinggi dalam kalangan negara membangun di rantau Asia Tenggara. Situasi ini dilihat kritikal, terutamanya selepas amaran S&P Global Ratings pada 8 Julai lalu yang menyatakan bahawa risiko tarif dan perang perdagangan semakin meningkat di rantau Asia Pasifik.

BMI turut meramalkan hasil pendapatan negara untuk tahun 2025 akan menyusut kepada 16.4 peratus daripada KDNK, berbanding 16.8 peratus pada tahun 2024, disebabkan aktiviti ekonomi yang perlahan yang menjejaskan kutipan cukai. Pertumbuhan ekonomi Malaysia juga dijangka sederhana kepada 4.2 peratus tahun ini, berbanding unjuran rasmi kerajaan antara 4.5 hingga 5.5 peratus yang sedang dikaji semula.

Hasil berkaitan petroleum juga diramal tidak mencapai unjuran awal, sekali gus menyukarkan lagi sasaran pendapatan kerajaan. Tambahan pula, BMI menjangkakan kerajaan akan menghadapi tekanan tambahan untuk meningkatkan subsidi utiliti berikutan kenaikan tarif elektrik sebanyak 14 peratus yang telah berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu. Dalam pada itu, kerajaan juga dilihat masih belum mengemukakan perincian jelas mengenai rancangan pemotongan subsidi bahan api RON95 yang merupakan bahan api paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kami menjangkakan perbelanjaan kerajaan akan melampaui perancangan asal pada tahun 2025, sebagaimana yang sering berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” menurut laporan itu.

Situasi ini amat penting untuk diperhatikan kerana implikasi besar yang boleh berlaku terhadap kestabilan ekonomi negara dan penarafan kredit Malaysia di peringkat antarabangsa. Ketidaktentuan ini boleh memberi impak langsung kepada pelabur serta keyakinan pasaran terhadap kedudukan fiskal negara.

Sehubungan itu, kerajaan disarankan mengambil langkah segera bagi meneliti dan mengukuhkan kawalan perbelanjaan serta menambah baik kutipan hasil bagi memastikan sasaran defisit fiskal negara dapat dicapai mengikut perancangan asal.

Situasi ini menggambarkan cabaran besar dalam pengurusan ekonomi negara, khususnya dalam aspek fiskal yang memerlukan strategi dan pendekatan yang lebih berkesan. Rakyat Malaysia diseru agar memahami situasi ini dengan jelas dan menyokong usaha kerajaan dalam mengukuhkan kewangan negara demi kestabilan jangka panjang.

#Prezcom