
KUALA LUMPUR 16/7/2025. Pengguna kad debit berdepan risiko lebih tinggi untuk menjadi mangsa penipuan dalam talian berbanding pengguna kad kredit, menurut Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Maklumat dan Ancaman Dalam Talian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Derek Fernandez. Beliau menasihatkan orang ramai supaya menggunakan kad kredit untuk transaksi dalam talian kerana perlindungan keselamatannya jauh lebih baik.
Bercakap dalam podcast Scoop Insight kendalian Big Boom Media dan Podaboom yang dihoskan oleh Shazmin Shamsuddin dan A. Azim Idris, Derek menjelaskan bahawa kad kredit memberikan perlindungan tambahan kerana dana yang digunakan adalah wang pendahuluan oleh syarikat kredit. Ini bermakna jika berlaku penipuan, pengguna kad kredit kurang terjejas secara langsung berbanding pengguna kad debit yang wangnya akan segera lesap dari akaun bank.
“Jika wang hilang akibat penipuan, pengguna kad kredit masih boleh membuat aduan dan mempertikaikan transaksi tersebut. Sebaliknya, pengguna kad debit akan mendapati akaun mereka dikosongkan serta-merta,” katanya.
Beliau turut menambah, syarikat kad kredit telah melabur dalam teknologi pengesanan penipuan yang canggih, seperti analisis tingkah laku pengguna, bagi mengurangkan risiko. Namun beliau mengingatkan bahawa tiada teknologi yang mampu memberikan perlindungan 100%.
Derek turut memberi amaran agar orang ramai tidak terlalu bergantung kepada telefon pintar sebagai dompet digital kerana telefon pintar pada asalnya direka sebagai alat komunikasi, bukan sebagai dompet digital. Setiap aplikasi yang dibuka pada telefon pintar berpotensi menjadi pintu masuk kepada ancaman keselamatan.
Beliau turut menyarankan pengguna supaya membuka akaun bank berasingan bagi transaksi digital sahaja, dengan had maksimum tertentu bagi mengurangkan impak jika berlaku penipuan.
Isu keselamatan digital menjadi semakin kritikal di Malaysia memandangkan jumlah kes penipuan dalam talian terus meningkat. Derek menyatakan bahawa MCMC telah menghapuskan kira-kira 60,000 cubaan penipuan pada tahun lepas sahaja, dan sebanyak 35,000 kes cubaan telah dikesan tahun ini sehingga kini.
Sebagai tindak balas, MCMC giat menjalankan kempen “Internet Selamat” yang dilancarkan pada Januari tahun ini bagi memerangi ancaman dalam talian seperti penipuan, buli siber, dan pemangsaan seksual kanak-kanak. Setakat ini, kempen tersebut telah melibatkan lebih 33,000 pelajar di 256 institusi pendidikan, dan dijangka mencapai sehingga 10,000 sekolah di seluruh negara.
Beliau turut menekankan kepentingan mendidik generasi muda tentang keselamatan dalam talian dari peringkat sekolah lagi untuk memastikan mereka dapat melindungi diri daripada ancaman siber.
MCMC mengingatkan masyarakat bahawa keselamatan digital bermula dengan kesedaran diri dan langkah pencegahan awal. Menggunakan kad kredit untuk transaksi dalam talian merupakan langkah bijak dalam melindungi diri daripada penipuan kewangan dalam talian. Kerjasama semua pihak diperlukan bagi menjadikan ruang digital lebih selamat untuk semua.
#Prezcom