KLIA Terminal 1 telah menerima penambahbaikan bernilai RM30 juta dalam separuh pertama tahun 2025

KUALA LUMPUR, 16/7/2025.  KLIA Terminal 1 telah menerima penambahbaikan bernilai RM30 juta dalam separuh pertama tahun 2025, melibatkan 14 inisiatif baharu bertujuan menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih pintar, pantas dan mesra penumpang. Langkah ini diambil tepat pada masanya sebagai persediaan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober depan dan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia (VM2026).

Pengurus Besar Operasi KLIA Terminal 1, Abd Hasman Abd Muhimim menyatakan bahawa peningkatan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam menjadikan KLIA sebagai hab antarabangsa yang cekap, bertaraf dunia, dan inklusif.

Beliau menjelaskan, KLIA telah mencatatkan jumlah penumpang sebanyak 30.1 juta bagi separuh pertama tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 9.9% berbanding tempoh sama tahun lalu. Fokus utama peningkatan ini adalah mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan kecekapan operasi di setiap titik sentuhan.

Antara peningkatan penting termasuklah penempatan paramedik menggunakan skuter elektrik (e-skuter) yang dilengkapi tangki oksigen, kit trauma, dan defibrilator luaran automatik (AED). Ini membolehkan paramedik tiba di lokasi kecemasan dalam masa kurang tiga minit, mempercepatkan bantuan perubatan segera.

Selain itu, KLIA turut memperkenalkan 36 ruang parkir mesra keluarga yang diubah suai daripada 54 ruang parkir biasa, sebagai tindak balas kepada peningkatan jumlah keluarga yang menggunakan lapangan terbang ini.

Sebanyak 100 kerusi roda baharu turut disediakan secara percuma bagi menyokong mobiliti dan aksesibiliti penumpang, dengan 50 daripadanya kini boleh digunakan di lokasi-lokasi strategik sekitar terminal.

Dalam usaha memastikan KLIA kekal mesra keluarga dan warga kurang upaya, 80 tandas dinaik taraf menjadi fasiliti yang lebih inklusif, lengkap dengan pintu lebih lebar, paip sensor, pemegang keselamatan dan butang panggilan kecemasan.

Sebanyak 5,000 troli bagasi lama telah diganti dengan model baharu yang lebih ringan, stabil, serta mempunyai brek terbina, memudahkan pergerakan penumpang di dalam terminal.

Selain itu, sistem daftar masuk bagasi mudah alih diperkenalkan secara percubaan, membolehkan pemprosesan bagasi 10 kali ganda lebih pantas daripada kaunter tradisional. Penambahbaikan di pusat pemeriksaan keselamatan domestik pula berjaya menggandakan kapasiti penyaringan kepada 1,500 penumpang sejam.

Proses perkhidmatan kendiri juga diperluaskan dengan sembilan pengimbas pas masuk automatik di pintu masuk antarabangsa, menggantikan kaedah manual dan menjimatkan masa penumpang.

Bagi keselesaan penumpang yang memerlukan bantuan khas seperti keluarga, warga emas, ibu mengandung dan individu kurang upaya, dua kaunter imigresen khas tambahan turut disediakan dengan papan tanda yang jelas.

Terminal ini juga diberi sentuhan visual yang lebih menarik melalui hiasan dinding bertema warisan budaya Malaysia, penambahbaikan navigasi stesen Aerotrain, serta kawasan permainan kanak-kanak bertema orang utan yang interaktif di Gate C30.

Penambahbaikan di KLIA adalah penting bagi memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan hab penerbangan antarabangsa, seiring dengan persediaan menyambut delegasi ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia 2026. Ia juga selaras dengan usaha negara meningkatkan imej global serta memberikan pengalaman terbaik kepada pelancong dan rakyat tempatan.

Dengan pelaksanaan inisiatif strategik ini, KLIA Terminal 1 kini lebih bersedia untuk menerima kunjungan antarabangsa, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan memberikan pengalaman perjalanan bertaraf dunia kepada semua penumpang.

#Prezcom