
KUALA LUMPUR 15/7/2025. Program eHati yang dianjurkan oleh Diyana Tahir kini disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, susulan dakwaan serius mengenai ajaran songsang yang boleh membawa kepada keruntuhan moral dan akidah umat Islam. Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini turut mengecam program ini sebagai ancaman kepada akhlak dan pegangan agama masyarakat Islam.
Program eHati mula mendapat perhatian apabila tular di media sosial kerana kandungannya yang kontroversi dan didakwa bertentangan dengan syarak. Antara kandungan yang paling mencetuskan kebimbangan ialah ajaran urutan Yoni serta teknik “Touch of Estacy (TOE)” yang mendakwa mendekatkan peserta dengan Allah SWT melalui pengalaman orgasme.
Aktivis sosial, Masyitah Ashari, melalui akaun Facebooknya, telah mendedahkan video berdurasi 5:44 minit yang menunjukkan secara jelas pengisian program tersebut. Dalam video itu, beliau mendedahkan bagaimana peserta program hilang rasa malu untuk berbincang secara terbuka mengenai seks dan aktiviti berunsur seksual secara terang-terangan. Selain itu, beberapa testimoni yang dikongsi oleh peserta turut menunjukkan dakwaan yang sesat dengan menyatakan bahawa pengalaman seksual tersebut merupakan pengalaman spiritual dengan Allah.
Masyitah turut membongkar bahawa pakej yang mengandungi amalan syirik serta persembahan tarian berunsur seksual ini ditawarkan pada harga RM10,865 kepada peserta.
Ekoran pendedahan ini, JAIS kini aktif menjalankan siasatan terperinci ke atas program tersebut, khususnya mengenai kemungkinan berlakunya ajaran palsu yang bercanggah dengan akidah Islam.




Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil, menegaskan bahawa program seumpama ini adalah ancaman serius kerana mencabar nilai-nilai asas Islam seperti penjagaan maruah diri, kehormatan dan kesucian agama. Beliau menyeru agar pihak berkuasa agama bertindak tegas serta segera mengambil langkah pencegahan dan pemulihan.
Isu ajaran sesat sebegini amat membimbangkan memandangkan ia boleh memberi kesan buruk jangka panjang terhadap kestabilan sosial dan agama di Malaysia. Justeru, kerajaan negeri dan persekutuan perlu bekerjasama rapat bagi membendung penularan ajaran-ajaran sesat yang boleh menggugat akidah serta moral masyarakat.
Langkah praktikal seperti pemantauan ketat ke atas program motivasi, semakan modul oleh pihak berkuasa agama sebelum sebarang program dianjurkan, serta pendidikan agama yang kukuh dalam kalangan masyarakat adalah antara tindakan yang boleh diambil bagi mengatasi isu ini.
Tindakan tegas JAIS terhadap program eHati diharap dapat membuka mata masyarakat mengenai bahaya ajaran sesat yang bertopengkan motivasi diri. Semua pihak digesa untuk lebih berhati-hati dalam memilih program pembangunan diri dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa agama.
#Prezcom