Majikan Syarikat Bas Langgar Hak Pekerja

Kuala Lumpur, 12/7/2025.  Sebanyak 27 aduan pelanggaran hak pekerja diterima oleh Kementerian Sumber Manusia daripada pekerja syarikat bas sejak 2024 hingga Jun 2025, termasuk isu serius seperti kegagalan membayar gaji minimum yang diwajibkan sebanyak RM1,700 sebulan. Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menegaskan bahawa isu pematuhan gaji minimum ini adalah kewajipan mandatori yang tidak boleh diabaikan mana-mana majikan.

Steven Sim Chee Keong berkata, daripada 27 aduan tersebut, lapan kes dilaporkan pada tahun 2024 dan sebanyak 19 aduan direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Aduan-aduan tersebut melibatkan pelbagai pelanggaran hak pekerja seperti kelewatan pembayaran gaji, tiada bayaran kerja lebih masa, faedah penamatan kerja yang tidak diberikan serta pelanggaran terhadap peruntukan utama dalam Akta Kerja 1955 dan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.

“Majikan perlu sedar bahawa pelaksanaan gaji minimum bukan pilihan, tetapi satu keperluan yang wajib dipatuhi oleh semua pihak. Undang-undang ini jelas dan akan dikuatkuasakan tanpa sebarang kompromi,” tegas beliau dalam satu sidang media di Nibong Tebal baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Tenaga Kerja sentiasa aktif menjalankan tinjauan serta pemeriksaan mengejut bagi memastikan undang-undang ini dipatuhi oleh semua syarikat.

Steven menambah, setakat ini hanya satu syarikat bas, iaitu Penawar Express Line Bhd, telah diambil tindakan undang-undang pada tahun lalu atas dua kesalahan berasingan di bawah Seksyen 43 kerana kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum.

“Kami memandang serius isu ini dan tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mana-mana syarikat yang sengaja mengabaikan tanggungjawab mereka kepada pekerja,” katanya.

Isu ini amat kritikal memandangkan sektor pengangkutan awam, khususnya bas ekspres, memainkan peranan penting dalam mobiliti rakyat serta ekonomi negara. Kegagalan mematuhi hak pekerja bukan sahaja menjejaskan kebajikan pekerja tetapi turut memberi impak langsung kepada kualiti perkhimatan bas ekspres yang disediakan kepada pengguna.

Untuk menangani masalah ini secara holistik, pihak kementerian disaran agar meningkatkan kempen kesedaran hak pekerja dan memperketatkan lagi pemantauan serta penguatkuasaan terhadap syarikat yang kerap melanggar undang-undang.

Tindakan tegas yang diambil oleh pihak kementerian menunjukkan komitmen kerajaan dalam melindungi hak pekerja dan memastikan kebajikan mereka terus terjamin. Majikan digesa segera mematuhi undang-undang bagi mengelakkan tindakan perundangan yang lebih tegas.

#Prezcom