
ASEAN ke-58: Malaysia Desak ASEAN Lebih Teguh Hadapi Ketidakpastian Global. Kreadit Image, BERNAMA
KUALA LUMPUR, 11 Julai 2025. Lebih 1,500 delegasi antarabangsa berkumpul di Kuala Lumpur baru-baru ini, menyaksikan pembukaan rasmi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang menumpukan usaha mengukuhkan kesepaduan dan relevansi strategik ASEAN dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya menegaskan kepentingan ASEAN kekal sebagai enjin keamanan, kestabilan, serta pembangunan inklusif serantau. Beliau turut menyeru semua negara anggota ASEAN supaya mengukuhkan perpaduan dalaman bagi menghadapi ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
Mesyuarat peringkat tinggi ini, dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai 2025 di bawah tema “Inklusif dan Kelestarian”.
Antara agenda penting yang dibincangkan termasuk pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045, inisiatif memperkukuh integrasi serantau serta meningkatkan daya tahan ekonomi rantau ASEAN. Menteri-menteri turut menilai perkembangan isu-isu serantau dan antarabangsa terkini, khususnya situasi semasa di Myanmar.
Menariknya, ASEAN turut menerima Algeria dan Uruguay sebagai ahli terbaharu Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC). Majlis menandatangani perjanjian ini melambangkan pengiktirafan global yang semakin meningkat terhadap prinsip ASEAN dalam memupuk kewujudan bersama secara aman dan menghormati kedaulatan setiap negara.
Sebagai langkah susulan, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Luar Uruguay, Mario Lubetkin bagi mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan kerjasama dua hala.
ASEAN, yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, kini merupakan antara blok ekonomi serantau terbesar di dunia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektif sekitar USD3 trilion. Dalam era geopolitik global yang mencabar ini, ASEAN terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan serantau.
Perkembangan terkini, termasuk situasi politik Myanmar yang rumit serta cabaran ekonomi global, menuntut ASEAN lebih proaktif dan bersatu dalam mencari penyelesaian jangka panjang. Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, mengambil tanggungjawab penting bagi memastikan hala tuju ASEAN terus relevan dan memberi impak positif kepada negara anggota serta komuniti antarabangsa.
Mesyuarat ini penting bagi Malaysia dalam menegaskan peranannya sebagai pemimpin serantau yang proaktif, memastikan isu-isu strategik seperti keamanan, kestabilan, perdagangan bebas, dan kelestarian alam sekitar terus diberi keutamaan.
Kerajaan Malaysia disarankan terus memperkukuh diplomasi ekonomi dan strategik dengan negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog bagi memastikan negara mendapat manfaat maksimum daripada kerjasama serantau ini.
AMM ke-58 menjadi platform penting untuk ASEAN menilai semula pendekatan strategik dalam mendepani cabaran global. Malaysia terus komited menerajui usaha-usaha ini, dan dijangka akan memperkenalkan lebih banyak inisiatif konkrit demi masa depan ASEAN yang lebih kukuh dan sejahtera.
Rakyat Malaysia diseru untuk menyokong usaha-usaha kerajaan ini dengan meningkatkan pemahaman mengenai peranan dan kepentingan ASEAN dalam kehidupan seharian mereka.
#Prezcom