CEAPAD IV Harapan Baharu Palestin Menentang Derita Ekonomi Gaza dengan Sokongan Asia Timur

Kuala Lumpur, 9 July 2025. Palestin kini berhadapan krisis ekonomi paling teruk dalam sejarah dengan kadar kemiskinan multidimensi mencecah 98 peratus pada awal 2024, namun CEAPAD IV, yang dihoskan Malaysia pada 11 Julai 2025, menjanjikan sinar harapan melalui kerjasama erat dengan negara-negara Asia Timur untuk pemulihan ekonomi dan pembangunan semula Gaza.

Persidangan Kerjasama Negara-negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD IV) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dilihat sebagai platform kritikal dalam mendukung perjuangan Palestin ke arah kemerdekaan, pemerkasaan ekonomi, serta pembinaan semula wilayah yang musnah akibat peperangan.

Kedutaan Palestin di Malaysia menegaskan bahawa CEAPAD adalah wadah diplomatik utama bagi Palestin untuk menjalin hubungan lebih mendalam dengan negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara. Menurut kenyataan rasmi kedutaan, CEAPAD berfungsi sebagai kerangka kolaboratif yang membolehkan Palestin menyertai pelbagai inisiatif dengan status rakan setara, bertujuan membentuk masa depan negara yang berdaulat, bermaruah, dan sejahtera.

Kerajaan Palestin turut menggambarkan CEAPAD sebagai teras strategi kerjasama antarabangsanya, memberi penekanan terhadap pembangunan ekonomi mampan, pembinaan kapasiti, serta memperkukuh kerjasama serantau bersama negara-negara Asia Timur.

Statistik terkini dari Biro Statistik Pusat Palestin mendedahkan realiti getir di Gaza, termasuk penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 86 peratus pada 2023 dan kadar pengangguran yang melonjak ke paras 80 peratus. Data kritikal ini dijadikan rujukan bagi memastikan inisiatif CEAPAD menyasarkan keperluan sebenar di Gaza dan Tebing Barat.

Antara matlamat strategik kerajaan Palestin adalah memperkukuh asas institusi, pembangunan semula Gaza serta meningkatkan kebergantungan ekonomi melalui kerjasama strategik bersama negara-negara Asia Timur. Inisiatif ini mencerminkan komitmen terhadap pembinaan masa depan mampan dan bermaruah untuk rakyat Palestin melalui kerjasama antarabangsa yang berimpak tinggi.

CEAPAD mula diperkenalkan oleh Jepun pada 2013, bertujuan menyokong pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber pembangunan ekonomi, pengetahuan, dan pengalaman negara-negara Asia Timur. CEAPAD IV yang bakal berlangsung di Malaysia akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, dan Menteri Perancangan serta Kerjasama Antarabangsa Palestin, Dr Estephan Salameh.

Tumpuan utama persidangan termasuklah program pembangunan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur penting Palestin, serta penyediaan bantuan kemanusiaan yang komprehensif dan berkesan.

Sebagai tuan rumah CEAPAD IV, Malaysia memainkan peranan penting dalam mengetengahkan isu Palestin kepada komuniti ASEAN dan negara-negara Asia Timur. Malaysia turut menggalakkan kerjasama erat serantau dalam usaha menyelesaikan krisis kemanusiaan serta ekonomi yang dihadapi Palestin. Komitmen ini sejajar dengan pendirian Malaysia yang konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin di pentas antarabangsa.

Kerajaan Malaysia diharap dapat mengambil inisiatif tambahan bagi memastikan resolusi dan cadangan CEAPAD IV dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat jangka panjang kepada Palestin.

CEAPAD IV bukan sekadar persidangan biasa, tetapi suatu usaha diplomatik penting dalam memperjuangkan pembangunan Palestin yang mampan dan bermaruah. Dengan sokongan kukuh negara-negara Asia Timur termasuk Malaysia, harapan rakyat Palestin untuk masa depan yang lebih cerah semakin nyata. Usaha ini memerlukan kesedaran dan sokongan global bagi memastikan Palestin bebas daripada belenggu ekonomi dan sosial yang menekan.

#Prezcom