
KUALA LUMPUR, 7 Julai 2025. Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan skim tarif Time-of-Use (ToU) bermula 1 Julai 2025, yang menawarkan kadar elektrik lebih murah pada waktu bukan puncak. Pengguna berpeluang menjimatkan sehingga RM26 sebulan jika memanfaatkan penggunaan elektrik pada waktu-waktu tertentu, terutamanya untuk mengecas kenderaan elektrik (EV) di rumah.
Skim ToU diperkenalkan sebagai inisiatif menggalakkan penggunaan elektrik pada waktu bukan puncak iaitu dari jam 10 malam hingga 2 petang hari berikutnya pada hari biasa, serta sepanjang hari pada hujung minggu dan cuti umum. Di bawah tarif baharu ini, pengguna yang menggunakan hingga 1,500kWh sebulan dikenakan caj 24.43 sen per kWh pada waktu bukan puncak, berbanding tarif umum 27.03 sen per kWh, menjimatkan sebanyak 2.6 sen per kWh. Bagaimanapun, tarif waktu puncak dari jam 2 petang hingga 10 malam meningkat sedikit kepada 28.52 sen per kWh, naik sebanyak 1.49 sen.
Bagi pengguna dengan penggunaan melebihi 1,500kWh sebulan, kadar waktu bukan puncak ialah 34.43 sen per kWh berbanding tarif waktu puncak 38.52 sen per kWh. TNB menjelaskan, pengguna masih boleh menggunakan semua peralatan elektrik seperti penghawa dingin dan pengecas EV sepanjang masa, tetapi perlu membayar caj sedikit lebih tinggi pada waktu puncak.
Permohonan untuk menyertai skim ini boleh dibuat menerusi emel ke tnbtou@tnb.com.my dan akan tersedia melalui aplikasi MyTNB bermula 1 Ogos 2025. Proses pendaftaran mengambil masa lima hari bagi pengguna dengan meter pintar, manakala dua bulan bagi mereka yang memerlukan pemasangan meter baharu. Pengguna yang ingin kembali ke tarif umum selepas mencuba skim ini boleh berbuat demikian dengan caj duti setem sebanyak RM10.
Pelaksanaan skim ini merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia dalam menyokong peralihan kepada gaya hidup lebih mampan dengan menggalakkan penggunaan tenaga secara bijak dan efisien. Walaupun langkah ini dijangka memberi manfaat kepada kebanyakan isi rumah, ia juga mengundang kontroversi terutama dalam kalangan mereka yang menganggap tarif waktu puncak sebagai tambahan beban ekonomi kepada pengguna.
Pada masa lalu, isu kenaikan tarif elektrik pernah mencetuskan reaksi negatif termasuk kempen “planking” oleh rakyat sebagai tanda protes terhadap kenaikan kadar elektrik yang dianggap tidak adil dan membebankan. Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hua dari DAP Johor, sebelum ini aktif mengetuai kempen bantahan sebegini, namun apabila isu ini dilihat kembali timbul di era permerintahan kerajaan MADANI tiada sebarang protes dilakukan oleh beliau atau mana-mana wakil DAP.
Skim tarif ToU yang diperkenalkan oleh TNB menawarkan peluang penjimatan signifikan kepada pengguna yang bijak menguruskan penggunaan elektrik mereka. Bagaimanapun, pengguna disarankan menilai dengan teliti corak penggunaan masing-masing sebelum menyertai skim ini. TNB juga digesa terus meningkatkan ketelusan dalam pelaksanaan tarif baharu ini agar kepentingan pengguna terus terpelihara.
#Prezcom