
Oleh: Ba’am Al Assad
Kuala Lumpur, 7 July 2025. Siapa kata muzik rock sudah tenggelam? Buktinya, lebih 8,000 peminat setia muzik rock membanjiri Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri malam kelmarin sempena Konsert Rockology yang menyaksikan Dato’ Awie, Kid dan Din Search mengganas di atas pentas dengan persembahan penuh bertenaga dan sarat nostalgia diiringi oleh Minn di posisi drum, Wan Braka (Bass) dan Firdaus (Keyboard).
Seawal jam 6 petang, kawasan sekitar Educity sudah mula dipenuhi lautan manusia lengkap dengan t-shirt band, jaket kulit, dan headband seolah-olah membawa penonton kembali ke era 80-an dan 90-an.
Dato’ Awie membuka tirai persembahan dengan lagu ikonik ‘Panggung Khayalan’, disambut sorakan padu dari ribuan peminat yang nyata sudah lama menantikan detik ini. Suasana bertambah panas apabila deretan lagu-lagu ‘padu’ seperti Pelesit Kota, Langit dan Bumi dan Mentari Merah Di Ufuk Timur terus dipersembahkan tanpa henti.
Bukan itu saja, pentas turut bergetar dengan lagu-lagu kegemaran peminat seperti Balada Pemuzik Jalanan, Ghairah Malam 15’, Gothik Malam Edan’ dan Pembakar Perasaan, membuktikan stamina dan aura rockers lagenda ini masih berbisa.
Segmen medley lagu galau menjadi detik paling sentimental malam itu, apabila Cinta Sepi, Kejora, Kau Pergi dan Fantasia Bulan Madu dipersembahkan dalam susunan yang cukup menyentuh jiwa. Ramai penonton dilihat menyanyi bersama, dan menyalakan ‘flash’ handphone masing-masing.

Malam penuh nostalgia itu diteruskan dengan seleksi lagu seperti Bayangan Baiduri, antara lagu yang paling dinanti-nantikan di ikuti lagu Kanta Biru, Pintu Sepi, ‘Rock n Roll Pie’, ‘Setia Dalam Kacamu’, ‘Zen Bikin Wilayah dan Kereta Merah sebagai penutup.
Namun, suasana tidak berakhir di situ! Sorakan ‘tambaaah! tambaaah!’ bergema sehingga memaksa Dato’ Awie, Kid dan Din kembali ke pentas untuk ‘belanja’ tiga lagu ekstra Emanuell, Diari Habil & Qabil dan Laila Namamu Teratas yang mengakhiri malam itu dengan begitu epik.
“Rockers Johor, memang luar biasa malam ni! Inilah semangat rock Malaysia yang tak pernah padam,” laung Dato’ Awie sambil disambut sorakan padu penonton.
Secara keseluruhan, Konsert Rockology membuktikan muzik rock kekal relevan dan masih mempunyai tempat di hati rakyat Malaysia. Persembahan penuh tenaga, sound system yang mantap, dan penonton yang sporting menjadikan konsert ini antara yang terbaik pernah dianjurkan di selatan tanah air.
#Prezcom