Wakil media tempatan dan antarabangsa hadir di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini bagi membuat liputan tinjauan kemudahan dan kelengkapan menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang akan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai.

KUALA LUMPUR, 5 Julai 2025. Hampir 1,000 petugas media tempatan dan antarabangsa mula berkumpul di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini bagi membuat liputan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 yang berlangsung dari 5 hingga 11 Julai 2025. Persiapan rapi dengan fasiliti bertaraf tinggi disediakan oleh Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku penyelaras Pusat Media Antarabangsa (IMC).

Seawal jam 8 pagi tadi, petugas media mula hadir ke KLCC untuk mengambil pas akreditasi serta menyertai lawatan khas media untuk melihat kemudahan serta logistik yang disediakan. Wakil daripada Kementerian Luar Negeri turut memberikan penerangan mengenai peralatan serta kemudahan di IMC yang terletak di Dewan 5 KLCC, lengkap dengan akses internet berkelajuan tinggi, ruang kerja yang selesa serta kemudahan katering bertaraf hotel.

Menurus Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari dari media Prezcom memuji persiapan BERNAMA yang dianggapnya sebagai ‘bersedia dan berpengalaman’. Beliau juga memuji kelancaran proses pendaftaran serta taklimat yang diberikan oleh pegawai kementerian yang disifatkan amat membantu.

Ketua Sekretariat Media, Zaria Mohd Nasri, sebelum ini mengumumkan hampir 1,000 petugas media akan hadir sepanjang minggu ini bagi meliputi sebanyak 24 mesyuarat peringkat Menteri Luar ASEAN. Mesyuarat tersebut akan turut melibatkan Dialog Rakan ASEAN, Rakan Dialog Sektoral ASEAN dan Sekretariat ASEAN. Antara yang akan hadir ialah kira-kira 1,500 delegasi termasuk Menteri Luar dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste. Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri ke-4 Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD IV), dengan fokus khusus kepada usaha pembinaan semula Gaza, yang akan dipengerusikan bersama Jepun. Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas tahun 1977, 1997, 2005, dan 2015.

Mesyuarat peringkat tinggi ASEAN ini memberi peluang kepada Malaysia untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemimpin diplomatik di rantau ini, di samping menunjukkan kemampuan negara dalam menguruskan persidangan antarabangsa bertaraf tinggi. Rakyat Malaysia digalakkan untuk terus mengikuti perkembangan mesyuarat ini bagi memahami peranan penting Malaysia dalam memupuk hubungan diplomatik serta kerjasama serantau, khususnya dalam isu-isu strategik termasuk usaha pembangunan Palestin.

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58 yang berlangsung di KLCC bukan sahaja menonjolkan komitmen Malaysia dalam memperkukuhkan diplomasi serantau, malah turut menekankan kecekapan negara dalam mengendalikan acara berskala antarabangsa. Masyarakat Malaysia diharap dapat memanfaatkan peluang ini untuk lebih memahami isu serantau yang turut memberi kesan kepada negara kita.

#Prezcom