Wabak Hantavirus di Indonesia Cetus Kebimbangan, Malaysia Perlu Tingkatkan Langkah Berjaga-Jaga

KUALA LUMPUR 2 JUN 2025.  Sebanyak lapan kes demam berdarah dengan sindrom buah pinggang (HFRS) akibat jangkitan hantavirus dilaporkan di empat wilayah di Indonesia iaitu Yogyakarta, Jawa Barat, Nusa Tenggara Timur dan Sulawesi Utara setakat 19 Jun 2025. Kementerian Kesihatan Indonesia dalam kenyataan rasminya pada Sabtu lalu mengesahkan bahawa kesemua pesakit yang dijangkiti kini telah sembuh sepenuhnya.

Hantavirus merupakan virus yang berpotensi membawa maut, ditularkan daripada tikus kepada manusia melalui kontak langsung atau pendedahan terhadap najis, air kencing atau air liur haiwan berkenaan. Setakat ini, tiada bukti menunjukkan virus ini boleh tersebar daripada manusia ke manusia.

Pakar kesihatan di Indonesia menyuarakan kebimbangan bahawa virus ini mungkin sedang menular secara diam-diam dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang mempunyai masalah kebersihan dan populasi tikus yang tinggi. Mereka menyarankan supaya pemantauan penyakit diperkukuhkan serta meningkatkan usaha pendidikan kesihatan awam bagi mencegah penularan lebih lanjut.

Indonesia sebelum ini pernah mencatatkan kes-kes terpencil hantavirus, namun peningkatan jumlah kes dalam tempoh yang singkat ini mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan penularan lebih luas. Keadaan ini berlaku disebabkan faktor sanitasi yang kurang baik dan pendedahan meluas kepada tikus di kawasan bandar dan luar bandar.

Dalam konteks Malaysia, penularan wabak ini amat penting untuk dipantau secara rapi kerana hubungan geografi yang dekat dan interaksi antara rakyat kedua-dua negara. Malaysia perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan hantavirus tidak menular ke dalam negara.

Antara langkah yang boleh diambil termasuk meningkatkan kawalan populasi tikus, memperkukuh sistem pemantauan penyakit, serta menjalankan kempen kesedaran awam tentang pentingnya menjaga kebersihan persekitaran. Agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia disarankan agar segera bertindak dengan mengedarkan maklumat lengkap berkaitan gejala dan pencegahan hantavirus kepada orang ramai.

Masyarakat awam juga digalakkan melaporkan sebarang peningkatan luar biasa populasi tikus atau gejala penyakit berkaitan kepada pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Secara keseluruhannya, meskipun situasi semasa di Indonesia masih terkawal, kewaspadaan dan langkah berjaga-jaga perlu diperhebatkan demi memastikan Malaysia kekal bebas daripada penularan hantavirus. Kerjasama antara kerajaan dan masyarakat amat penting bagi memastikan tahap kesihatan awam terus terjamin.

#Prezcom