Proton dan Grab Malaysia Perkukuh Kerjasama, Tawar Lebih Banyak Model Kereta dan Manfaat Lumayan Untuk Pemandu E-hailing

KUALA LUMPUR, 2 JULY 2025. Proton Holdings Bhd (Proton) bersama Grab Malaysia mengukuhkan lagi kerjasama strategik mereka dengan menawarkan lebih banyak model kenderaan Proton, termasuk Proton S70 dan siri X kepada pemandu Grab, bermula Jun 2025.

Langkah ini adalah kesinambungan daripada kejayaan kempen “Saga Power Up for Grab Driver-Partners” yang dilancarkan pada November 2024. Setakat ini, kempen tersebut telah mencatatkan 220 permohonan dengan 148 pendaftaran Proton Saga, sekali gus menunjukkan permintaan kukuh terhadap kenderaan Proton dalam sektor e-hailing negara.

Melalui kerjasama yang diperluaskan ini, para pemandu Grab kini mempunyai pilihan yang lebih luas termasuk kenderaan bagi kategori GrabCar Plus dan GrabCar (6 tempat duduk). Tawaran khas turut disediakan bagi meringankan beban kewangan pemilikan awal kenderaan seperti rebat tunai sehingga RM13,000, diskaun servis sebanyak 5 peratus selama dua tahun atau sejauh 40,000 kilometer, serta bantuan bahan api bernilai RM500.

Timbalan Pengarah Jualan Proton Edar, Ong Chee Wooi berkata, “Kerjasama diperkukuh ini merupakan langkah penting dalam memperkasakan sektor e-hailing. Proton amat berbesar hati kerana dapat menawarkan model-model seperti S70 dan siri X kepada pemandu Grab. Program ini bukan sahaja menyediakan manfaat eksklusif, tetapi juga menjamin kebolehpercayaan dan kos penyelenggaraan rendah, faktor penting untuk pekerja gig yang bergantung kepada kenderaan sebagai alat kerja utama mereka.”

Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia, Rashid Shukor pula menyatakan, “Kerjasama ini memudahkan pemandu kami mendapatkan akses kepada kenderaan berkualiti tinggi, seterusnya membolehkan mereka meningkatkan pendapatan dan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah. Dengan tambahan model-model baharu seperti S70 dan siri X, pemandu kini boleh menaik taraf kenderaan mereka sekali gus menarik pelbagai segmen pengguna.”

Kerjasama strategik ini mempunyai impak langsung kepada masyarakat, khususnya pekerja gig dan pemandu e-hailing, dengan memberikan peluang peningkatan ekonomi serta sokongan berterusan bagi pembangunan kerjaya dalam industri ini. Selain itu, ia selari dengan agenda digitalisasi ekonomi Malaysia dan transformasi pengangkutan awam ke arah mobiliti mampan serta mampu milik.

Sebagai langkah tambahan, Proton dan Grab Malaysia akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini untuk memastikan manfaatnya dapat dinikmati sepenuhnya oleh pemandu e-hailing dan pengguna.

Untuk maklumat lanjut mengenai kerjasama dan tawaran istimewa ini, orang ramai dan pemandu yang berminat boleh merujuk laman web rasmi Proton di www.proton.com dan Grab Malaysia di www.grab.com/my.

#Prezcom