KUALA LUMPUR, 1 July 2025. Kanser kini bukan lagi satu hukuman mati, namun ketakutan dan salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia menyebabkan kelewatan diagnosis dan rawatan, yang akhirnya boleh meragut nyawa. Ketua Pegawai Eksekutif OncoCare Cancer Centre Malaysia merangkap Pakar Onkologi Klinikal Kanan, Dr John Low menegaskan bahawa pendidikan dan kesedaran adalah senjata paling ampuh dalam menangani kanser.

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia 2017–2021, kanser payudara kekal sebagai kanser tertinggi, diikuti kanser kolorektal, paru-paru, limfoma dan hati. Dr Low turut menekankan bahawa kadar kanser prostat semakin meningkat ekoran kesedaran yang lebih tinggi dan saringan awal, manakala kadar kanser serviks semakin berkurangan hasil keberkesanan program vaksinasi HPV kebangsaan.

“Kanser pada masa kini bukan seperti 10 atau 20 tahun dahulu. Walaupun kes semakin meningkat termasuk dalam kalangan golongan muda, berita baiknya ialah kadar survival juga meningkat secara signifikan,” jelas Dr Low.

Beliau turut menyatakan bahawa persepsi kanser sebagai penyakit orang tua kini ketinggalan zaman. Kes kanser payudara dan kolon dalam kalangan individu di bawah 50 tahun semakin meningkat akibat gaya hidup moden seperti pemakanan tinggi makanan diproses, kurang bersenam dan peningkatan obesiti.

“Tanggapan bahawa kanser adalah hukuman mati perlu diperbetulkan. Banyak jenis kanser kini boleh dirawat dan bahkan sembuh, terutamanya jika dikesan awal. Rawatan yang lebih efektif telah meningkatkan kadar survival dengan ketara,” kata beliau.

Beliau juga menepis mitos popular yang menyatakan gula mempercepat pertumbuhan kanser. “Memang benar sel kanser menggunakan glukosa, tetapi semua sel sihat juga begitu. Mengurangkan gula semata-mata tidak akan menyembuhkan kanser, sebaliknya diet seimbang lebih penting bagi menyokong kesihatan semasa rawatan,” jelasnya.

Selain itu, kepercayaan bahawa perubatan tradisional semata-mata boleh menyembuhkan kanser juga merupakan mitos berbahaya. “Walaupun sesetengah rawatan tradisional boleh membantu melegakan gejala, ia tidak boleh menggantikan terapi berasaskan bukti seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi,” tambah beliau.

Dr Low juga menekankan bahawa kehidupan dengan kanser kini adalah satu realiti, bukan sesuatu yang mustahil. Dengan kemajuan seperti imunoterapi dan terapi sasaran, ramai pesakit kanser peringkat empat kini boleh meneruskan kehidupan aktif dan berkualiti untuk bertahun-tahun lamanya.

Beliau turut memberi amaran agar rakyat Malaysia tidak mengabaikan tanda-tanda awal kanser seperti penurunan berat badan mendadak atau darah dalam najis. Menurut beliau, gejala-gejala ini sering dipandang ringan akibat kepercayaan budaya atau rasa takut.

“Kanser tidak mengenal usia atau tahap kesihatan anda. Kes kanser payudara, kolorektal, bahkan serviks turut ditemui pada individu berusia 30-an. Justeru, saringan berkala amat penting,” nasihat beliau.

Malaysia kini mempunyai akses kepada rawatan kanser bertaraf dunia seperti pembedahan dibantu robotik, radioterapi berpandukan kecerdasan buatan (AI), imunoterapi dan terapi sasaran yang terbukti lebih tepat, efektif dan kurang berisiko.

“Rawatan kanser kini bersifat peribadi, disesuaikan dengan profil genetik pesakit. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan rawatan, malah mengurangkan kesan sampingan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit,” jelas Dr Low lagi.

Dr Low mengingatkan bahawa kanser bukan ancaman jauh tetapi realiti yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Beliau menegaskan pentingnya pengesanan awal, saringan berkala, serta amalan gaya hidup sihat yang proaktif.

“Kanser bukan pengakhiran, sebaliknya ia boleh menjadi permulaan baharu. Jadilah lebih peka terhadap tubuh anda dan bertindak segera. Kesedaran awal adalah kunci utama,” kata beliau sebagai penutup.

#Prezcom