
KUALA LUMPUR, 1 July 2025. Lebih 1,000 delegasi yang terdiri daripada penggubal dasar, pemimpin industri, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta badan-badan antarabangsa berhimpun sempena Persidangan TVET ASEAN 2025 (ATVET) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 13 hingga 14 Ogos 2025.
Persidangan ini, yang dianjurkan sempena Tahun Kemahiran ASEAN 2025, menjadi platform utama bagi menyatukan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha mengukuhkan kolaborasi serantau dalam bidang TVET. Fokus utama persidangan merangkumi perkongsian amalan terbaik, menangani cabaran tenaga kerja serantau, mengukuhkan kerjasama TVET di peringkat ASEAN, serta mempamerkan kemahiran dan inovasi yang bersedia menghadapi masa hadapan.
Sepanjang dua hari berlangsungnya persidangan ini, peserta akan didedahkan dengan pelbagai sesi plenari, panel perbincangan, serta pameran inovasi daripada institusi TVET dan pihak industri. Sesi ini bertujuan memperkasakan tenaga kerja ASEAN agar lebih inklusif, tangkas dan berdaya tahan dalam menghadapi tuntutan global yang kian mencabar.
Malaysia khususnya semakin aktif memperkasakan sistem TVET sebagai salah satu tunjang utama dalam pembangunan modal insan negara. Persidangan ini amat penting bagi Malaysia kerana ia menjadi medan untuk mempelajari strategi terkini dari negara ASEAN lain dalam mempersiapkan tenaga kerja yang mahir, kompetitif, dan relevan dengan keperluan industri semasa.
Malaysia berpeluang mengambil manfaat langsung daripada perkongsian amalan terbaik yang dibentangkan, khususnya dalam menangani cabaran mismatch antara kemahiran tenaga kerja dengan keperluan industri. Persidangan ini juga memberikan input berharga bagi kerajaan, institusi pendidikan, serta sektor industri untuk merangka strategi yang lebih berkesan dalam pembangunan TVET negara.
Sebagai langkah susulan, peserta dari Malaysia digalakkan untuk memperkukuh jaringan kerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa. Selain itu, institusi-institusi TVET di Malaysia disaran segera mengadaptasi inovasi dan kemahiran baharu yang diketengahkan dalam persidangan ini bagi memastikan keberkesanan program latihan dan kebolehpasaran graduan.
Persidangan TVET ASEAN 2025 bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, tetapi juga pemangkin kepada pembentukan tenaga kerja ASEAN yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan. Untuk maklumat lanjut, layari www.aseanyearofskills.org.
#Prezcom