
SHAH ALAM, 30 Jun 2025. KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mengakui berlaku kelemahan dalam sistem penyampaian maklumat melibatkan sebilangan kecil subkontraktor, menyebabkan notis saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak dimaklumkan tepat pada masanya kepada syarikat.
Penjelasan ini dibuat susulan laporan Kementerian Pengangkutan pada Rabu lalu yang menyenaraikan KDEBWM sebagai salah satu daripada 28 syarikat dengan saman tertinggi oleh JPJ, mencatatkan sejumlah 22,017 saman aktif.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, KDEBWM memaklumkan majoriti kenderaan syarikat dikendalikan oleh subkontraktor rasmi yang bertanggungjawab secara kontrak untuk menguruskan semua saman berkaitan kenderaan dan pemandu di bawah kendalian mereka.
“Bagaimanapun, kami mendapati beberapa subkontraktor gagal memaklumkan saman tersebut secara segera seperti mana yang ditetapkan dalam kontrak,” jelas kenyataan itu.
KDEBWM, anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor, mengendalikan lebih 1,500 kenderaan seperti lori kompaktor dan Roll-on Roll-off (RoRo) bagi tujuan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam secara harian, termasuk pada hujung minggu serta cuti umum.
Menurut KDEBWM, jumlah saman yang tinggi harus dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira skala besar operasi harian syarikat.
“Misalnya, dua saman bagi setiap lori dalam sehari boleh menghasilkan kira-kira 3,000 saman sebulan dan menjangkau lebih 9,000 saman dalam tempoh tiga bulan sekiranya melibatkan ratusan kenderaan aktif setiap hari,” tambah kenyataan tersebut.
Menurut prosedur JPJ, sekiranya saman tidak dijelaskan dalam tempoh tiga bulan, notis rasmi akan dihantar kepada pemilik berdaftar iaitu KDEBWM dengan tempoh tambahan dua bulan bagi penyelesaian.
“Setelah menerima notifikasi rasmi JPJ, syarikat mengambil tindakan pantas dengan menjalankan semakan dalaman dan menyelesaikan saman tersebut secara berperingkat. Hingga kini, KDEBWM telah menyelesaikan sebanyak 13,000 saman daripada jumlah yang direkodkan,” kata KDEBWM.
KDEBWM turut menyatakan penghargaan kepada JPJ atas peranan penting mereka dalam memastikan keselamatan jalan raya dan bertekad memperkukuh sistem komunikasi serta pemantauan bersama subkontraktor untuk mengelakkan kejadian berulang.
“Kami komited untuk memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dilaksanakan secara konsisten dan berintegriti bagi menjaga keselamatan masyarakat dan imej syarikat,” tambah KDEBWM.
Insiden ini menyerlahkan kepentingan komunikasi yang jelas antara syarikat pengendali kenderaan dan subkontraktor dalam mematuhi peraturan keselamatan jalan raya. Langkah pengukuhan sistem penyampaian maklumat perlu diterapkan dalam semua operasi yang melibatkan subkontraktor.
Isu ini perlu dijadikan iktibar oleh syarikat lain bagi meningkatkan kecekapan pengurusan notis saman dan mengurangkan risiko saman tertunggak, sekaligus memastikan keselamatan jalan raya di negara ini terus terjamin.
#Prezcom