Dari Kiri” Dr. Zurina Moktar, Head of Science, Technology Division, ASEAN Secretariat, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Bin Hassan Deputy Secretary General (Technology Development), MOSTI, YB Tuan Chang Lih Kang Minister of Science, Technology and Innovation (MOSTI), Tuan Fabian Bigar, Secretary General of the Ministry of Digital, and Norman Matthieu Vanhaecke, Group CEO of Cradle.

PUTRAJAYA, 27 Jun 2025. Malaysia secara rasminya melancarkan platform Startup ASEAN pada 26 Jun 2025, sebagai gerbang digital strategik bagi menghubungkan dan memperkasa syarikat pemula (startup) di seluruh rantau ASEAN. Inisiatif ini diketuai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta dilaksanakan oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun 2025.

Platform ini bertujuan menjadi pusat sehenti yang komprehensif, menawarkan akses terus kepada pasaran serantau, pembiayaan, jaringan pelabur, pembangunan bakat serta wawasan ekosistem startup serantau.

Menteri MOSTI, YB Tuan Chang Lih Kang, berkata, pelancaran platform ini merupakan satu pencapaian penting dalam memenuhi komitmen Malaysia untuk memperkukuh inovasi dan ekonomi inklusif di rantau ASEAN.

“Malaysia amat berbangga diberi peluang untuk mengetuai usaha dalam membangunkan ekosistem startup yang lebih tersusun dan berdaya saing di ASEAN. Platform Startup ASEAN bukan sekadar gerbang digital, malah merupakan penggerak strategik yang dibangunkan melalui kolaborasi erat dengan semua negara anggota ASEAN untuk menangani cabaran akses kepada pasaran, dana, bakat, dan data,” jelas beliau.

Tambah beliau lagi, pelancaran ini merupakan antara pencapaian utama dalam program ASEAN Startup Technology Ignite 2025, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada syarikat pemula Malaysia untuk berkembang pesat di peringkat serantau dan global.

Setiausaha Agung ASEAN, H.E. Dr. Kao Kim Hourn, menyatakan bahawa platform ini melambangkan komitmen kukuh ASEAN dalam memperkukuh integrasi serantau dan membuka peluang baharu menerusi teknologi dan inovasi.

“Startup ASEAN bakal menjadi hub berpusat yang menghubungkan usahawan, pelabur, institusi kerajaan serta pemain utama ekosistem dari setiap negara anggota, sekali gus memperdalam integrasi serantau,” kata beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke, turut menegaskan bahawa peranan Cradle dalam inisiatif ini adalah untuk mencipta peluang dalam ekosistem startup serta memperkukuhkan kerjasama di kalangan negara anggota.

“Platform ini bukan hanya tentang teknologi, tetapi juga tentang memperkasakan hubungan strategik serta mengoptimumkan potensi usahawan startup ASEAN melalui program-program serantau yang inklusif,” ujar beliau.

Inisiatif ini yang diluluskan pada tahun 2023, meletakkan Cradle sebagai agensi pelaksana di bawah MOSTI bagi membangunkan dasar-dasar yang mesra startup, meningkatkan kesediaan ekosistem serta memacu program-program serantau yang memberi impak tinggi.

Pelaksanaan inisiatif ini terbahagi kepada beberapa fasa:

Majlis pelancaran yang berlangsung secara hibrid itu turut menampilkan tayangan video Startup ASEAN yang mengetengahkan kisah kejayaan startup unik serta kepelbagaian budaya dari semua negara anggota ASEAN. Seiring dengan pelancaran itu, Cradle turut menganjurkan sesi ASEAN CrossConnect yang menghubungkan sepuluh mentor global dengan startup dari seluruh rantau ini.

Cradle akan terus bekerjasama rapat dengan negara-negara anggota ASEAN bagi memastikan platform Startup ASEAN ini membawa impak yang bermakna melalui peningkatan akses pasaran, peluang pelaburan serta pertukaran ilmu yang berkesan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi www.startup-asean.org.

#Prezcom