
PETALING JAYA, 17 Jun 2025. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa partinya tidak akan menyokong mana-mana gerakan yang menggunakan slogan perpaduan Melayu sebagai topeng kepada agenda politik peribadi.
Beliau berkata, setiap usaha untuk menyatukan orang Melayu perlu dibina atas asas nilai bersama dan keikhlasan, bukan sebagai helah untuk menghidupkan semula karier politik individu yang telah ditolak rakyat.
“UMNO tidak akan menerima mana-mana sekretariat yang kononnya mahu menyatukan orang Melayu tetapi berlandaskan muslihat politik. Kami kekal dalam UMNO dan terus mendokong kerajaan perpaduan yang kami sama-sama dirikan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk.
Kenyataan Zahid dipercayai merujuk kepada cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengumumkan penubuhan “Sekretariat Perpaduan Melayu” pada 4 Jun lalu, bagi menyatukan orang Melayu dan “mengembalikan kuasa politik Melayu” dalam kerajaan.
Tun Mahathir menyatakan bahawa beliau akan menjemput ahli UMNO secara individu, bukan UMNO sebagai parti, untuk menyertai sekretariat itu. Walaupun menafikan ia bermotif politik, langkah tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan pimpinan kerajaan perpaduan.
Zahid dalam ucapan tegasnya turut menyentuh secara langsung rekod politik Tun Mahathir, termasuk peranannya dalam memecahkan kesatuan Melayu sebelum ini.
“Apabila seseorang itu mendapati semua calon parti pimpinannya kalah pilihan raya dan hilang deposit, barulah timbul keinginan mahu satukan Melayu. Tapi yang memecah-belahkan orang Melayu itulah dia juga,” kata Zahid. Beliau menyifatkan penubuhan sekretariat tersebut sebagai “gerakan desperado” hasil daripada kegagalan politik seorang bekas pemimpin yang telah hilang kepercayaan rakyat.
Zahid turut menegaskan komitmen UMNO untuk terus bersama kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak akan terpengaruh dengan mana-mana gerakan yang cuba menangguk di air keruh atas nama perpaduan kaum. “UMNO telah buat keputusan besar menyertai kerajaan perpaduan demi kestabilan negara, bukan untuk main politik peribadi,” ujarnya lagi.
Penganalisis politik melihat kenyataan Zahid ini sebagai mesej amaran kepada ahli parti agar tidak terlibat dalam agenda luar UMNO yang mungkin dilihat bercanggah dengan pendirian rasmi parti.
Profesor Madya Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata: “Zahid cuba mengukuhkan disiplin dalam parti dengan menghalang sebarang kerjasama tidak rasmi yang boleh menggugat kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan.”
Isu perpaduan Melayu kembali menjadi tumpuan, namun retorik sahaja tidak mencukupi jika dibayangi motif politik sempit. UMNO menegaskan bahawa mereka hanya akan menyokong perpaduan yang bersifat tulen, terbuka, dan berasaskan kepentingan nasional dan bukan yang lahir daripada kekecewaan politik peribadi.
#Prezcom