
KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025. Peningkatan kes COVID-19 di beberapa negara jiran seperti Thailand dan Singapura disebabkan oleh kemunculan subvarian baharu Omicron yang lebih mudah berjangkit, telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan awam tempatan. Rakyat Malaysia diseru untuk kekal berwaspada dan mengamalkan langkah pencegahan, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
Pakar kesihatan komuniti dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, menjelaskan bahawa subvarian LP.8.1 dan NB.1.8.1, yang kini dikategorikan sebagai Variants Under Monitoring (VUM) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dikenal pasti sebagai lebih mudah merebak berbanding varian sebelum ini.
“Walaupun subvarian ini tidak menyebabkan gejala teruk secara umum, ia tetap memberi risiko tinggi kepada warga emas, wanita hamil, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik,” ujar beliau.
Thailand telah merekodkan 65,880 kes baharu dan 3 kematian antara 25 hingga 30 Mei lalu, manakala Singapura mencatatkan 14,200 kes baharu antara 27 April hingga 3 Mei, peningkatan ketara berbanding 11,100 kes pada minggu sebelumnya, dengan 133 pesakit dimasukkan ke hospital. Di Malaysia, negeri Melaka mencatatkan peningkatan lebih 20% dalam tempoh seminggu, dengan 93 kes baharu direkodkan dalam Minggu Epidemiologi Ke-23 (1–7 Jun). Walaupun jumlah ini masih rendah berbanding fasa kritikal pandemik dahulu, trend ini menunjukkan kitaran jangkitan masih aktif dan tidak boleh dipandang ringan.
Prof. Dr Sharifa Ezat turut menekankan kepentingan langkah pencegahan asas seperti:
- Memakai pelitup muka di tempat awam atau semasa berada di luar negara.
- Mengamalkan kebersihan tangan dan etika batuk yang betul.
- Elakkan kunjungan ke tempat sesak jika mengalami gejala seperti demam, batuk atau selesema ringan.
“Kita tidak boleh jangka bila varian yang lebih serius akan muncul. Jadi langkah paling bijak ialah terus berjaga-jaga walaupun simptom kelihatan ringan,” tambah beliau.
Menurut pensyarah kanan Kesihatan Awam dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Hafiz Jaafar, peningkatan kes kini lebih mudah dikesan kerana tahap kesedaran orang ramai yang lebih tinggi. “Pergerakan sempena cuti sekolah dan sambutan perayaan baru-baru ini menyumbang kepada lonjakan kes, namun majoritinya hanya memerlukan rawatan simptomatik sahaja. Buat masa ini, tidak ada keperluan untuk kemasukan hospital secara besar-besaran,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa sistem kesihatan masih berada dalam kawalan, namun rakyat disaran untuk tidak leka dan segera mendapatkan rawatan jika bergejala.
Walaupun tahap keterukan jangkitan tidak setinggi ketika gelombang pandemik utama dahulu, kemunculan subvarian baharu menjadi peringatan bahawa COVID-19 masih wujud dan boleh memberi kesan kepada individu tertentu. Pakar kesihatan menggesa agar pemantauan kendiri diteruskan, terutama ketika berada di tempat awam atau sempadan antarabangsa. Sementara tiada arahan sekatan baharu diumumkan, tanggungjawab kawalan kini terletak pada sikap berhati-hati rakyat sendiri.
#Prezcom