
KUALA LUMPUR, 11 Jun 2025. Platform media sosial Instagram memperkenalkan ciri baharu dikenali sebagai trial Reels yang kini terbukti mampu membantu pencipta kandungan meningkatkan capaian dan memperhalusi strategi kandungan mereka dan ini termasuk dalam kalangan pencipta kandungan tempatan di Malaysia.
Ciri trial Reels, yang telah diperkenalkan secara ujian sejak enam bulan lalu, membolehkan kandungan video pendek dipaparkan hanya kepada pengguna yang tidak mengikuti akaun pencipta, sebagai satu bentuk audience sampling awal. Ini bermakna pencipta boleh menguji prestasi kandungan tanpa campur tangan daripada pengikut sedia ada yang mungkin memberikan gambaran capaian yang berat sebelah.
Menurut perunding perniagaan Coach Ts. Megat Zainurul Anuar bin Megat Johari; setiap trial Reel yang dimuat naik akan dipaparkan kepada sekumpulan pengguna rawak yang tidak mengikuti akaun tersebut dan paparan ini bukan di feed utama dan bukan juga di tab Reels untuk pengikut sedia ada. Dalam tempoh 24 jam, pencipta boleh melihat data prestasi seperti jumlah tontonan, tanda suka, komen dan perkongsian, membolehkan mereka menilai kekuatan sesuatu kandungan sebelum menjadikannya sebagai siaran rasmi. Coach Megat juga menambah, katanya “ciri baharu ini boleh dijadikan sebagai salah satu strategi ‘Go-To-Market’ bagi menguji permintaan ataupun minat golongan sasaran sebelum produk dikomersilkan”.
Instagram membenarkan sehingga 20 trial Reels dimuat naik setiap hari. Kandungan-kandungan ini kemudian boleh ditukar kepada Reels biasa, sekali gus dikongsi secara terbuka kepada pengikut seperti siaran biasa. Bagi pencipta kandungan di Malaysia dan termasuk usahawan mikro, pemilik perniagaan kecil dan influencer, ciri ini membuka ruang untuk menguji keberkesanan mesej pemasaran sebelum dilancarkan secara rasmi. Sebagai contoh, pengusaha butik tempatan boleh menguji gaya penyampaian video promosi produk, manakala peniaga makanan boleh mencuba kandungan resipi atau testimoni pelanggan terlebih dahulu untuk menilai reaksi bakal pelanggan.
Menurut trend semasa, pencipta kandungan yang memanfaatkan trial Reels secara konsisten dapat membina kefahaman lebih mendalam terhadap tingkah laku pengguna serta memperbaiki kadar interaksi secara berterusan. Ciri ini tersedia untuk akaun profesional, walaupun sesetengah pengguna biasa turut diberikan akses dalam fasa ujian berterusan. Untuk mencuba, pengguna hanya perlu memilih pilihan trial Reel ketika memuat naik kandungan melalui antaramuka penerbitan Reels.
Penggunaan trial Reels secara strategik bukan sahaja berpotensi meningkatkan jumlah tontonan dan pengikut, malah membantu menjimatkan masa dan sumber apabila pencipta dapat mengenal pasti kandungan yang benar-benar berkesan sebelum pelancaran rasmi. Hal ini menjadikan trial Reels sebagai alat baharu yang berimpak tinggi dalam content marketing era digital.
Pelaksanaan trial Reels merupakan sebahagian daripada usaha Instagram memperkukuh ekosistem pencipta kandungan secara global. Di Malaysia, peluang ini boleh dimanfaatkan bukan sahaja oleh content creator, tetapi juga oleh jenama tempatan dan agensi pemasaran digital untuk memperkemas strategi kandungan berasaskan data tingkah laku sebenar pengguna.
Dalam landskap digital yang semakin kompetitif, ujian kandungan melalui trial Reels bukan sekadar ciri tambahan malah ia kini menjadi kelebihan strategik untuk menembusi audiens baharu dan memperkukuh hubungan jenama dengan pengguna sasaran.
#Prezcom