Trend Jangkitan HIV di Malaysia Meningkat, Hubungan Seksual Jadi Punca Utama

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2025. Jangkitan HIV di Malaysia kini mencatatkan peningkatan ketara, dengan hubungan seksual menjadi punca utama penularan, khususnya dalam kalangan golongan muda. Menurut statistik terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 3,220 kes baharu HIV direkodkan sepanjang tahun 2023, dengan 95% daripadanya berpunca daripada transmisi seksual.

Setiausaha Kehormat Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Dr. Zaiton Yahaya menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan kes dalam kalangan individu berusia 20 hingga 29 tahun, yang mewakili 44% daripada jumlah keseluruhan kes baharu. Tambah beliau, sebanyak 62% kes jangkitan akibat hubungan seksual ini berlaku dalam kalangan komuniti homoseksual dan biseksual, manakala 33% berlaku dalam hubungan heteroseksual.

Lebih membimbangkan, hampir 10% kes baharu melibatkan golongan wanita yang dipercayai dijangkiti melalui pasangan mereka. Kurangnya kesedaran mengenai amalan seks selamat dan stigma masyarakat terhadap HIV menyumbang kepada keengganan ramai individu untuk mendapatkan ujian dan rawatan awal.

“Ketakutan dan stigma masih lagi menjadi penghalang utama. Oleh itu, kita perlu mempergiat usaha memberikan pendidikan yang tepat mengenai HIV, sekali gus membantu mencegah penyebarannya,” jelas Dr. Zaiton.

MAC dan MAF turut mengambil inisiatif melalui pelancaran ProtectNow Hub, sebuah platform digital pertama di Malaysia yang menyediakan akses kepada Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP), ujian kendiri HIV, serta sokongan kesihatan mental tanpa stigma.

Dalam pada itu, peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar universiti turut mencatatkan angka yang merisaukan. Golongan pelajar berumur 20 hingga 29 tahun kini menyumbang kepada 44% daripada kes baharu, manakala pelajar sekolah berusia 13 hingga 19 tahun mencatatkan 4%.

Dr. Zaiton menjelaskan bahawa MAC dan MAF telah mempertingkatkan usaha dalam mengadakan program kesedaran di institusi pendidikan untuk menangani trend ini.

Dalam konteks global, Filipina turut mencatatkan peningkatan kes HIV sebanyak 500% tahun ini, mendorong kerajaan negara tersebut mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat kesihatan awam bagi menangani penularan virus ini dengan lebih efektif.

Menyedari ancaman ini, Malaysia juga sedang giat melaksanakan pelbagai strategi pencegahan dan rawatan, termasuk memastikan liputan rawatan HIV mencapai sasaran yang ditetapkan. Setakat ini, sebanyak 86% pesakit HIV di Malaysia mengetahui status mereka, manakala 55% daripadanya sedang menerima rawatan antiretroviral (ART).

Statistik terkini juga menunjukkan penurunan ketara dalam penularan HIV melalui perkongsian jarum suntikan, dari 5,176 kes pada 2002 kepada 164 kes pada 2020.

KKM menetapkan matlamat sifar jangkitan HIV menjelang 2030, dengan mempergiat usaha proaktif terutamanya dalam kalangan belia dan remaja melalui pendidikan dan program pencegahan yang lebih menyeluruh.

Stigma dan diskriminasi terhadap penghidap HIV masih tinggi, dengan hampir 30% rakyat Malaysia mengakui enggan berurusan dengan individu HIV positif dalam aktiviti harian seperti membeli barangan atau membenarkan kanak-kanak HIV positif bersekolah bersama anak-anak lain.

“Masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk menghapuskan stigma ini. Setiap individu mempunyai peranan untuk memahami dan menerima mereka yang hidup dengan HIV secara terbuka dan positif,” ujar Dr. Zaiton.

Dengan langkah-langkah ini, Malaysia berharap dapat mencapai sasaran yang ditetapkan untuk mengurangkan impak HIV terhadap masyarakat dan membina komuniti yang lebih prihatin serta bebas stigma.

#MyChampion
#Prezcom