Operasi Rentas Sempadan: Lebih 100 Ditahan di Singapura, Kerjasama Malaysia dan Negara Serantau Gugat Sindiket Penipuan-Kredit Imej, SPF Singapore.

SINGAPURA, 6 Jun 2025. Lebih 1,800 individu telah ditahan dalam operasi antipenipuan berskala besar melibatkan kerjasama tujuh wilayah termasuk Malaysia, dalam usaha menggugat sindiket jenayah penipuan rentas sempadan yang semakin berleluasa.

Dalam operasi dikenali sebagai Operasi Frontier+ yang berlangsung selama sebulan dari 28 April hingga 28 Mei 2025, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan seramai 106 orang telah ditahan di republik itu sahaja, sementara selebihnya ditahan di negara lain termasuk Malaysia, Hong Kong, Korea Selatan, Maldives, Thailand dan Macau.

Operasi ini penting berikutan peningkatan mendadak kes penipuan yang menyebabkan kerugian besar kepada orang awam, dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah 39.3 juta dolar Singapura. Dalam operasi yang sama, pihak berkuasa turut merampas dan membekukan sebanyak 7.69 juta dolar Singapura daripada 714 akaun bank yang disyaki berkaitan kegiatan jenayah ini.

Menurut SPF, individu-individu yang ditahan kini sedang disiasat atas pelbagai tuduhan serius seperti membantu dalam penipuan, memberikan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer, membantu menyimpan hasil daripada aktiviti jenayah, serta pendedahan tidak sah maklumat sulit seperti kata laluan dan kod akses digital.

Sepanjang tempoh operasi ini juga, kira-kira 33,900 individu berusia antara 14 hingga 81 tahun telah disiasat, dipercayai terlibat dalam lebih 9,200 kes jenayah penipuan. Kebanyakan kes ini termasuk penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai kerajaan, skim pelaburan palsu, penipuan sewa rumah, penipuan cinta dalam talian, penipuan tawaran pekerjaan serta penipuan dalam transaksi e-dagang.

Mangsa yang terlibat dilaporkan mengalami kerugian terkumpul yang sangat besar, iaitu melebihi 289 juta dolar Singapura.

Pengarah Jabatan Ehwal Komersial Singapura, David Chew menegaskan bahawa kerjasama yang erat antara semua negara yang terlibat melalui platform Operasi Frontier+ merupakan langkah strategik yang menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan ini.

Operasi Frontier+ yang mula dilancarkan pada Oktober 2024, melibatkan negara-negara termasuk Malaysia, Singapura, Hong Kong, Thailand, Maldives, Korea Selatan, Australia, Macau, Kanada dan Indonesia. Ia bertujuan memperkukuhkan jaringan kerjasama antarabangsa melalui perkongsian maklumat jenayah, tindakan penguatkuasaan yang diselaraskan serta pertukaran ilmu dalam mengatasi jenayah penipuan yang semakin kompleks.

Di Malaysia, isu jenayah penipuan dalam talian semakin membimbangkan apabila statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan drastik kes jenayah siber sejak dua tahun lalu. Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM, kerugian yang direkodkan akibat jenayah penipuan dalam talian di Malaysia mencapai RM1.7 bilion pada tahun 2024, meningkat daripada RM1.6 bilion pada tahun sebelumnya.

Justeru, kerjasama rentas sempadan seperti Operasi Frontier+ amat relevan dan kritikal bagi Malaysia dalam usaha memerangi jenayah ini, sekali gus melindungi rakyat daripada ancaman siber yang semakin berkembang.

Langkah susulan operasi ini dijangka melibatkan pendakwaan ke atas suspek yang ditahan serta mempertingkatkan lagi jaringan keselamatan digital dan langkah-langkah pencegahan, khususnya di peringkat tempatan Malaysia untuk memastikan kesedaran awam dan keselamatan dalam talian dapat diperkukuhkan secara berterusan.

#Prezcom