Permit Masuk Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Julai

PUTRAJAYA, 5 Jun 2025. Kerajaan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya Permit Masuk Kenderaan (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura bermula 1 Julai 2025 bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan memperkemaskan kawalan kenderaan asing yang memasuki negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam sidang medianya hari ini berkata, penguatkuasaan ini dibuat mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). Di bawah akta ini, memandu kenderaan bermotor asing tanpa permit sah sebelum atau semasa berada di Malaysia merupakan satu kesalahan.

Menurut Loke, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan notis amaran kepada pemilik kenderaan asing yang masih belum mendaftar atau mengaktifkan VEP mereka. “Jika kenderaan persendirian asing memasuki Malaysia tanpa VEP yang sah, mereka akan dikenakan denda RM300. Denda tersebut wajib dibayar sebelum meninggalkan negara, dan sekiranya gagal dijelaskan, kenderaan tersebut tidak akan dibenarkan keluar,” jelasnya.

Tambah beliau, langkah ini dilaksanakan setelah tempoh mencukupi diberikan, bermula dengan pendekatan advokasi secara lembut sejak 1 Oktober 2024. Tempoh ini bertujuan memberi ruang secukupnya kepada pemilik kenderaan asing untuk membuat prapendaftaran VEP.

Kenderaan persendirian syarikat yang belum mendaftar VEP pula hanya akan diberikan notis peringatan buat masa ini dan dibenarkan keluar dari negara tanpa dikenakan denda.

Penguatkuasaan VEP ini dijalankan di kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor, iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor serta di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.

Penguatkuasaan penuh VEP ini penting bagi memperkukuh keselamatan jalan raya negara serta memastikan sistem pengurusan kenderaan asing lebih teratur dan terkawal. Pihak kerajaan berharap semua pemilik kenderaan asing mematuhi peraturan ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di Malaysia.

#Prezcom