KKM Perkenal Garis Panduan Baharu Urus Maklumat Alahan Ubat Pesakit

KUALA LUMPUR, 5 Jun 2025 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Perkhidmatan Farmasi telah melancarkan Edisi Kedua Garis Panduan Pengurusan Maklumat Alahan Ubat Pesakit bagi mempertingkatkan keselamatan pesakit dan mengurangkan risiko kesilapan pengubatan yang berpunca daripada alahan ubat.

Menurut Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Wan Noraimi Wan Ibrahim, statistik menunjukkan sebanyak 88,757 kad alahan ubat telah dikeluarkan oleh fasiliti KKM antara tahun 2019 hingga 2023. Ini menandakan peningkatan dalam kes alahan ubat yang dilaporkan dari tahun ke tahun.

“Dengan adanya dokumentasi dan notifikasi yang tepat kepada semua anggota kesihatan, kita dapat mengelakkan penggunaan ubat alternatif yang mungkin lebih mahal atau kurang berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, edisi kedua garis panduan ini memperkenalkan prosedur baharu untuk membatalkan status alahan ubat sekiranya pesakit disahkan tidak lagi mengalami alahan tersebut berdasarkan kriteria tertentu. Ia bertujuan mengoptimumkan pilihan rawatan farmakoterapi untuk pesakit.

Menurut garis panduan ini, kes alahan ubat pesakit hendaklah disahkan oleh pegawai perubatan atau pergigian melalui sejarah perubatan serta pemeriksaan klinikal yang teliti. Selain itu, pengesahan status alahan juga boleh dijalankan melalui ujian diagnostik khusus seperti ujian darah, ujian kulit, dan ujian provokasi.

Bagi memastikan maklumat alahan disebarkan dengan berkesan, kad alahan ubat diwajibkan mempunyai butiran lengkap termasuk nombor siri, nama penuh pesakit, nombor kad pengenalan, jenis ubat yang menyebabkan alahan, reaksi alahan, tarikh dikeluarkan, dan nama fasiliti yang mengeluarkan kad tersebut.

“Kad ini penting kerana ia bertindak sebagai alat komunikasi utama untuk memastikan semua petugas kesihatan maklum tentang status alahan ubat pesakit, seterusnya mencegah pemberian ubat yang boleh mencetuskan reaksi alahan,” jelas beliau.

KKM juga menegaskan pentingnya mendidik pesakit agar mereka memahami peranan aktif yang boleh dimainkan dalam pengurusan alahan ubat, termasuk sentiasa membawa kad alahan serta memakai gelang amaran.

“Kami berharap semua anggota kesihatan menggunakan garis panduan ini sepenuhnya agar keselamatan pesakit dapat terus dipertingkatkan,” tegas Wan Noraimi.

Garis panduan ini boleh diakses melalui laman web rasmi KKM di www.pharmacy.gov.my.

#KKMPrihatin
#MyChampion
#Prezcom