Penyelewengan bina lebuhraya: SPRM kenal pasti RM143 juta untuk pembelian aset, arak, judi

KUALA LUMPUR 4 Jun 2025. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti penyelewengan dana sukuk bernilai kira-kira RM143 juta yang sepatutnya digunakan untuk pembinaan lebuhraya di Lembah Klang. Operasi yang bermula minggu lalu membongkar pemilikan aset-aset mewah serta aktiviti judi dan pembelian arak oleh seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sitaan tersebut melibatkan pelbagai aset termasuk 14 akaun individu bernilai RM4.5 juta, lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta, kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta, sembilan unit kereta bernilai RM7.65 juta, serta jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta.

Turut disita dalam operasi ini adalah tas tangan mewah bernilai RM3 juta, barang kemas dan berlian bernilai RM6 juta, empat ekor kuda bernilai RM400,000, minuman beralkohol bernilai RM3 juta, aset luar negara bernilai lebih RM15 juta dan dana perjudian dianggarkan kira-kira RM20 juta.

Siasatan awal mendapati bahawa penyelewengan dana ini berlaku antara tahun 2016 hingga 2020. Projek pembinaan lebuh raya bernilai RM1.67 bilion itu tidak disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. SPRM juga sedang menyiasat isu tuntutan palsu bernilai antara RM360 juta hingga RM416 juta serta pinjaman bank bernilai RM50 juta yang turut diselewengkan.

Azam berkata, sebahagian dana tersebut dipercayai digunakan untuk rasuah bernilai RM12 juta bagi melancarkan pengaliran wang keluar dan masuk semula kepada suspek. “Dana yang diseleweng ini turut dipercayai digunakan dalam aktiviti penggubahan wang haram melalui beberapa lapisan transaksi menggunakan khidmat profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, dan jurutera,” jelasnya.

SPRM kini dalam usaha mendapatkan keterangan daripada suspek utama bergelar Tan Sri, yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta. Pegawai penyiasat SPRM sedang menunggu pengesahan doktor sebelum mengambil keterangan beliau.

Sebanyak 45 saksi telah dipanggil setakat ini, dengan beberapa daripadanya telah dipanggil semula untuk memberi keterangan lanjut bagi memperkukuhkan siasatan.

Pada masa sama, SPRM sedang mengesan aset-aset mewah lain milik Tan Sri terbabit di dalam dan luar negara, termasuk di London dan Switzerland. Notis pengisytiharan harta juga telah dikeluarkan kepada individu tersebut dan pihak yang berkaitan.

Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SPRM untuk memerangi rasuah dan memastikan dana awam digunakan secara bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

#Prezcom