PERKESO Berjaya Selamatkan RM48.64 Juta Daripada Penipuan Faedah dan Elaun

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2025 – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah berjaya menyelamatkan dana keselamatan sosial bernilai lebih RM48.64 juta hasil daripada tindakan tegas terhadap kes-kes penipuan faedah dan elaun sejak tahun 2020.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, memaklumkan bahawa sejak tahun 2020, hampir 1,200 kes disyaki penipuan faedah telah disiasat, melibatkan tuntutan palsu bernilai sehingga RM61 juta.

“Siasatan aktif telah dijalankan terhadap 679 kes, dan melalui tindakan seperti penggantungan faedah dalam 383 kes, kita berjaya menyelamatkan lebih RM48.64 juta dana keselamatan sosial. Ini jelas menunjukkan bahawa tadbir urus dan tata kelola yang cekap dapat memberi kesan positif yang besar kepada sistem keselamatan sosial negara,” ujar beliau dalam ucaptama semasa seminar mengenai penipuan dalam keselamatan sosial dan insurans, di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu penipuan faedah ini masih menjadi cabaran besar. Pada tahun 2024 sahaja, kerugian akibat tuntutan tidak sah telah mencatatkan jumlah RM2.1 juta.

Dalam usaha berterusan menangani ketirisan dana, PERKESO turut melaksanakan semakan semula Elaun Layanan Sentiasa (ELS) bagi memastikan penerima faedah sentiasa layak menerima bantuan tersebut. Dari tahun 2020 hingga April 2025, sebanyak 509 kes ELS telah disemak, dengan 117 kes (22.9 peratus) dicadangkan untuk penggantungan, seterusnya menyelamatkan lebih RM12.2 juta dalam jangka panjang.

Steven Sim menegaskan bahawa penipuan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi turut menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi yang bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja. Beliau turut menekankan kepentingan rangka kerja pencegahan menyeluruh yang merangkumi pembaharuan undang-undang, penguatkuasaan yang lebih ketat, inovasi digital, dan komunikasi yang telus bagi menghadapi cabaran global ini.

Seminar tersebut, yang dihadiri lebih 400 peserta termasuk pakar perubatan, penguat kuasa, dan wakil industri insurans, menjadi platform penting bagi membincangkan pendekatan terbaik dalam menangani isu penipuan dan kelemahan sistem yang mengancam kelestarian perlindungan sosial di Malaysia.

Dalam majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, telah dianugerahkan The Lifetime Fellowship of the American College of Independent Medical Examiners (FACIME), pengiktirafan tertinggi dalam bidang Pemeriksaan Perubatan Bebas peringkat antarabangsa.

Anugerah ini disampaikan oleh Presiden dan Pengasas ABIME, Prof Dr. Mohammed Ranavaya, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa beliau dalam bidang perubatan hilang upaya dan kesihatan pekerjaan.

Steven Sim berkata, pengiktirafan antarabangsa ini membuktikan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan dan kepakaran bertaraf dunia dalam bidang profesional tertentu, yang merupakan suatu kebanggaan kepada PERKESO, Kementerian Sumber Manusia, dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

#Prezcom