
SHAH ALAM, 3 Jun 2025. Pemilik kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik penuh, BYD Atto 3, yang mengalami insiden cemas apabila kenderaan tersebut berhenti secara tiba-tiba di tengah Lebuh Raya Cheras-Kajang, telah memulangkan semula kenderaan tersebut kepada pihak BYD Sime Motors. Penyelesaian ini melibatkan pembayaran penuh baki pinjaman bank oleh pihak BYD Sime Motors.
Izwan Hassan, 33, membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira keselamatan keluarganya, walaupun mengalami sedikit kerugian akibat ansuran bulanan yang telah dibayar selama hampir 10 bulan pemilikan.
“Kami amat menghargai pendekatan profesional yang diambil oleh BYD Sime Motors, yang menawarkan penyelesaian secara penuh dengan membeli semula SUV tersebut daripada pihak bank. Keputusan ini dibuat demi keselamatan keluarga saya yang menjadi keutamaan,” jelas Izwan melalui hantaran di Facebook pada Sabtu.
Insiden tersebut berlaku pada 1 Mei lalu ketika Izwan dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang bersama keluarga. SUV elektrik yang dipandu pada kelajuan sekitar 90 hingga 100 kilometer sejam secara tiba-tiba terhenti di lorong kanan lebuh raya. Keadaan menjadi lebih kritikal apabila tayar kenderaan tidak dapat dipusingkan, sekalipun gear telah ditukar ke posisi ‘N’.
Selepas 12 hari pemeriksaan di pusat servis BYD Glenmarie, punca sebenar insiden dikenal pasti bukanlah disebabkan oleh kegagalan bateri 12V seperti sangkaan awal, tetapi berpunca daripada kerosakan sensor pada pintu pemandu.
Kejadian ini mencetuskan perdebatan hangat di kalangan pengguna media sosial serta komuniti pemilik kenderaan elektrik (EV), khususnya berkaitan kebergantungan tinggi terhadap sistem automatik yang dikatakan tidak menyediakan amaran awal jika berlaku kerosakan atau kegagalan fungsi.
Susulan daripada pengalaman ini, Izwan kini lebih berhati-hati dalam memilih kenderaan baharu, dengan menumpukan perhatian kepada ciri keselamatan yang lebih baik serta perkhidmatan selepas jualan yang memuaskan.
“Pengalaman ini memberikan pengajaran berharga buat kami sekeluarga. Selepas ini, kami akan memilih kenderaan dengan lebih teliti dan tidak terpengaruh dengan promosi yang viral di media sosial semata-mata,” tambah Izwan.
Setakat ini, pihak BYD Sime Motors masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.
#Prezcom