Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi tempoh 2025 hingga 2027

KUALA LUMPUR, 2 Jun 2025 – Malaysia mencatat sejarah apabila dilantik sebagai Presiden sesi ketiga Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi tempoh 2025 hingga 2027. Selain itu, Malaysia turut dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UN-Habitat bagi sesi 2027 hingga 2029.

Pelantikan ini menggambarkan pengiktirafan komuniti antarabangsa terhadap komitmen dan usaha Malaysia dalam menyokong serta melaksanakan agenda pembangunan mampan, khususnya dalam isu penempatan manusia dan urbanisasi.

Peranan baharu ini meletakkan Malaysia di posisi penting untuk memimpin dialog global mengenai pembangunan bandar yang lestari, isu perumahan mampu milik, serta menangani cabaran urbanisasi yang semakin meningkat, terutamanya di negara-negara membangun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pelantikan ini merupakan amanah yang besar kepada Malaysia dalam memainkan peranan aktif di pentas antarabangsa, khususnya dalam membentuk dasar dan strategi berkaitan penempatan manusia yang mampan.

“Pelantikan ini menjadi peluang terbaik bagi Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam menangani cabaran pembangunan bandar serta memastikan setiap komuniti mendapat manfaat daripada kemajuan yang seimbang,” ujar beliau dalam satu kenyataan rasmi.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan negara-negara anggota lain dalam memastikan agenda pembangunan mampan dan penempatan manusia mencapai matlamatnya.

“Malaysia komited untuk menyokong dan memperkukuh peranan UN-Habitat dalam usaha global ke arah mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 11, iaitu menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan, dan lestari,” jelas beliau lagi.

Dalam tempoh pelantikannya, Malaysia dijangka akan mengetuai pelbagai inisiatif dan program yang memberi tumpuan kepada pembangunan bandar mampan, inovasi dalam perancangan bandar, serta memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menangani isu global berkaitan penempatan manusia.

Pelantikan ini sekaligus membuka ruang lebih luas kepada Malaysia untuk memainkan peranan aktif dalam memperjuangkan isu penempatan manusia di peringkat global.

SumberL Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia

#Prezcom