Hospital Medan Malaysia (HMM) di Myanmar Cemerlang

SHAH ALAM, 2 Jun 2025. Kehadiran Pasukan Hospital Medan Malaysia (HMM) di Myanmar di bawah operasi Ops Starlight III berjaya meraih penghargaan tinggi daripada penduduk tempatan dan pihak berkuasa Myanmar, sekali gus menyaksikan lanjutan gencatan senjata sepanjang tempoh misi kemanusiaan selama 45 hari.

Komander HMM Ops Starlight III, Kolonel Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad, 43, memaklumkan bahawa misi ini dilaksanakan dengan tahap keselamatan tertinggi meskipun negara itu mengalami pergolakan dalaman. Menurut beliau, gencatan senjata yang asalnya dijadual tamat pada akhir April telah berjaya dilanjutkan melalui usaha diplomasi Malaysia.

“Kami mendapat kerjasama rapat dan sokongan padu daripada pihak berkuasa tempatan Myanmar dalam aspek keselamatan, fasiliti serta operasi. Ini jelas menunjukkan penghormatan dan kepercayaan terhadap ATM dalam misi kemanusiaan ini,” katanya semasa Majlis Penerimaan Tim HMM Ops Starlight III di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Seramai 69 pegawai dan anggota ATM selamat pulang ke tanah air selepas menjalankan operasi selama 38 hari di Sagaing, Myanmar, berikutan gempa bumi yang melanda negara tersebut baru-baru ini. Mereka tiba di Pangkalan Udara Subang sekitar jam 8.30 malam dan disambut sendiri oleh Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman.

Dalam tempoh operasi tersebut, pasukan HMM berjaya memberikan rawatan kepada 3,562 pesakit dan melaksanakan sebanyak 493 prosedur pembedahan. Mejar Dr Aminur Rashid Yunus, 39, Pakar Bedah Am HMM, turut menyatakan kebanggaan beliau terhadap pencapaian luar biasa pasukan itu.

“Kami menerima pelbagai kes termasuk kecederaan akibat gempa bumi, kecederaan letupan, jangkitan serius, kanser, masalah tiroid serta pembedahan rekonstruktif cleft palate. Kejayaan terbesar kami adalah tiada sebarang kematian dan jangkitan selepas pembedahan dilaporkan sepanjang operasi ini,” jelas Dr Aminur.

Operasi ini melibatkan elemen penting ATM termasuk pasukan Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST), elemen daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) serta Tim Keselamatan.

Kejayaan misi ini mencerminkan komitmen tinggi ATM dan kerajaan Malaysia dalam menyediakan bantuan kemanusiaan serta memperkukuhkan hubungan antarabangsa, khususnya dengan negara jiran di rantau Asia Tenggara.

#Prezcom