
KUALA LUMPUR, 2 Jun 2025. Lebih 400,000 guru di seluruh negara bakal menerima baucar buku tahun ini sebagai usaha kerajaan memperluas insentif bagi mengukuhkan budaya membaca dalam kalangan rakyat, khususnya pelajar sekolah dan universiti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif ini merupakan pengiktirafan kepada peranan penting guru dalam menyebarkan ilmu dan memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.
“Tahun ini kita mengambil keputusan untuk memperluas pemberian baucar buku kepada semua guru. Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk terus menggalakkan budaya membaca yang tinggi dalam kalangan masyarakat kita,” kata beliau semasa merasmikan Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Pengelola PBAKL 2025, Mohd Khair Ngadiron serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari.
Anwar menambah, pemberian baucar buku ini perlu disertai panduan jelas supaya guru dapat memilih bahan bacaan yang berkualiti dan bermanfaat, sekali gus mengelakkan penyalahgunaan atau tuntutan terhadap buku yang kurang berkualiti.
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa penerusan insentif ini untuk tahun hadapan akan bergantung pada keadaan ekonomi semasa negara, khususnya berkaitan cabaran tarif perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyatakan rasa optimis terhadap perkembangan budaya membaca di Malaysia, yang terbukti melalui sambutan hangat terhadap PBAKL 2025 yang berjaya menarik 1.8 juta pengunjung sepanjang acara berlangsung dari 23 Mei hingga hari ini.
“Respons positif yang diterima dalam penganjuran PBAKL tahun ini jelas menunjukkan minat membaca semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia. Ini merupakan petanda baik ke arah pembentukan masyarakat berilmu yang lebih progresif,” ujar beliau.
#Prezcom