
PETALING JAYA, 1 Jun 2025. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan Operasi Menembak Gagak pada hari Sabtu, 31 Mei 2025, dari jam 7.30 pagi hingga 7.00 malam melibatkan 27 lokasi yang dikenal pasti sebagai pusat pembiakan burung gagak di sekitar kawasan pentadbiran MBPJ.
Operasi ini dijalankan bertujuan untuk mengurangkan populasi burung gagak yang semakin meningkat, sekali gus menangani masalah kacau ganggu dan isu kebersihan yang berpunca daripada tabiat burung tersebut menyelongkar tong sampah.
Menurut kenyataan MBPJ, operasi tersebut akan disertai oleh 30 penembak profesional yang dilantik khas bagi memastikan keselamatan serta keberkesanan operasi tercapai sepenuhnya.
Antara lokasi utama yang terlibat termasuklah Taman Medan (PJS 1 hingga PJS 2), Taman Sri Manja (PJS 3), kawasan Seksyen 52, Seksyen 17, SS2, Bandar Utama (PJU 6), Ara Damansara (PJU 1A), Mutiara Damansara (PJU 7), Kota Damansara (PJU 5), Sri Damansara (PJU 9), serta beberapa lokasi strategik yang lain dalam kawasan Petaling Jaya.

MBPJ menasihati orang ramai agar berhati-hati dan menjaga jarak selamat semasa operasi dijalankan, serta mengikuti arahan anggota penguat kuasa yang bertugas di lapangan.
Operasi ini merupakan inisiatif MBPJ bagi menjawab aduan awam berkaitan kacau ganggu burung gagak yang menyebabkan pencemaran, mengganggu ketenteraman, serta menjejaskan kebersihan bandar raya.
MBPJ juga meminta kerjasama orang awam untuk menghebahkan maklumat ini melalui kumpulan aplikasi seperti WhatsApp, Telegram atau platform media sosial lain bagi memastikan masyarakat setempat mendapat maklumat secukupnya.
Sebarang pertanyaan lanjut berhubung operasi ini boleh diajukan kepada Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ melalui talian 03-7955 5473.
#Prezcom