PETALING JAYA 1 Jun 2025. Ketua Polis

Negara, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan bahawa seorang warga India yang dipercayai dalang utama sindiket dadah antarabangsa berjaya ditahan di Kuala Lumpur selepas memasuki negara ini menggunakan visa pelancong.
Menurut Razarudin, suspek berusia 30 tahun itu berjaya ditangkap dalam serbuan oleh pegawai Bukit Aman pada jam 1.35 pagi, 13 Mei lalu, ketika sedang bersembunyi di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuala Lumpur.
“Siasatan awal mendapati bahawa suspek tidak terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di Malaysia. Namun begitu, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada dia mempunyai rangkaian tempatan atau terlibat dengan mana-mana kumpulan jenayah di sini,” katanya dalam satu kenyataan yang dilaporkan Bernama.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Navin Chichkar itu dipercayai mengetuai sindiket pengedaran dadah yang beroperasi di peringkat antarabangsa, menguruskan penghantaran kokain dari Amerika Syarikat ke India sebelum diedarkan dalam dan luar negara.
Menurut laporan akhbar Hindustan Times, Navin sebelum ini melarikan diri ke Thailand sebelum berpindah ke Malaysia bagi mengelak daripada pihak berkuasa selepas notis merah dikeluarkan oleh Interpol terhadapnya.
Beliau telah dihantar pulang ke India pada jam 6.54 petang, Selasa lalu, dan kini berada di bawah tahanan Biro Kawalan Narkotik India untuk tindakan lanjut.
Penahanan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis dalam memerangi jenayah dadah antarabangsa dan kerjasama rentas sempadan dengan pihak berkuasa luar negara bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tempat persembunyian penjenayah antarabangsa.
#Prezcom