Tuntutan Imuniti Undang-undang oleh PM Anwar Dikritik, LFL Desak Campur Tangan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 31 Mei 2025. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lawyers for Liberty (LFL), mendesak Peguam Negara (AG) untuk campur tangan dalam permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta Mahkamah Persekutuan menentukan persoalan sama ada seorang Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada saman sivil semasa menjawat jawatan.

Pengarah LFL, Zaid Malek menyifatkan persoalan yang dibangkitkan oleh peguam baharu Anwar minggu lalu sebagai tidak masuk akal, kerana konsep imuniti tersebut tidak wujud dalam undang-undang negara.

“Permohonan ini merupakan cubaan tidak langsung untuk memperkenalkan konsep imuniti kepada Perdana Menteri semata-mata atas alasan jawatannya. Ia bercanggah dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang yang diamalkan di Malaysia,” kata Zaid dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan Perlembagaan yang dirujuk dalam permohonan itu iaitu Artikel 39, 40, dan 43 hanya melibatkan autoriti eksekutif Persekutuan serta hubungan dengan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam pembentukan Kabinet, bukannya memberikan sebarang bentuk imuniti undang-undang kepada Perdana Menteri.

Zaid turut menegaskan bahawa tuntutan imuniti ini tidak relevan kerana dakwaan terhadap Anwar dilakukan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

“Jika imuniti seperti ini diberikan, ia akan mencabuli hak undang-undang rakyat Malaysia yang mahu membawa tuntutan sah terhadap mana-mana individu yang menjadi Perdana Menteri sekarang atau masa hadapan. Ini jelas bertentangan dengan prinsip kesamarataan yang dijamin oleh Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya lagi.

Beliau turut memetik bahawa Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak memiliki imuniti daripada tindakan sivil dan jenayah di bawah Artikel 183 Perlembagaan, justeru adalah tidak wajar Perdana Menteri diberikan keistimewaan sedemikian.

Dalam pada itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan turut menggesa agar Peguam Negara campur tangan dalam permohonan Anwar. Beliau mencadangkan agar Peguam Negara menjadi intervenor atau amicus curiae (rakan mahkamah) untuk memastikan kepentingan awam terjaga dan prinsip Perlembagaan dipatuhi.

Takiyuddin menyatakan, sebagai penasihat undang-undang kerajaan yang bertanggungjawab mempertahankan Perlembagaan, Peguam Negara tidak boleh mengabaikan isu penting ini.

Permohonan kontroversi Anwar ini dikemukakan dalam kes saman sivil oleh bekas pembantu beliau, Muhammad Yusoff Rawther, yang mendakwa dicabul oleh Anwar pada Oktober 2018, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

Anwar telah menukar pasukan peguamnya pada 23 Mei lalu kepada firma Messrs Zain, Megat dan Murad, dan perbicaraan kes saman sivil tersebut dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun ini.

Hakim Roz Mawar Rozain akan membuat keputusan pada 3 Jun ini sama ada akan membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan perbicaraan dan merujuk persoalan imuniti tersebut kepada Mahkamah Persekutuan.

Antara persoalan undang-undang yang dikemukakan termasuklah sama ada seorang Perdana Menteri yang sedang menjawat jawatan mempunyai perlindungan daripada saman sivil berkaitan peristiwa sebelum menjawat jawatan, terutama jika saman itu boleh menjejaskan tugas eksekutif beliau atau mengganggu imbangan kuasa antara kerajaan dan mahkamah.

Permohonan ini mencetuskan kebimbangan ramai pihak tentang implikasi terhadap demokrasi dan prinsip kedaulatan undang-undang di negara ini.
#Prezcom