
KUALA LUMPUR, 31 Mei 2025. Semua pemimpin 10 negara anggota ASEAN termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, iaitu visi strategik jangka panjang yang menjadi panduan pembangunan komuniti ASEAN untuk tempoh dua dekad akan datang.
Deklarasi yang dimeterai dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di Kuala Lumpur ini menandakan pencapaian penting dalam usaha ASEAN memperkukuh integrasi serantau. Ia adalah lanjutan kepada ASEAN 2025: Maju Bersama yang diperkenalkan semasa kepengerusian Malaysia pada 2015.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa deklarasi ini merangkumi empat tonggak utama, iaitu politik-keselamatan, ekonomi, sosio-budaya dan keterhubungan. Menurut beliau, dokumen ini menekankan pentingnya pertumbuhan yang adil, penyertaan inklusif, serta kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa depan seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi, dan tekanan geopolitik.
“Deklarasi Kuala Lumpur ini bukan sahaja menyatukan rantau ini, malah meletakkan ASEAN sebagai pemacu utama perubahan global, berpaksikan nilai-nilai serantau,” ujar Anwar.
Deklarasi ini disokong oleh dokumen strategik utama iaitu Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045, yang menggariskan matlamat ASEAN menjadi komuniti yang berdaya tahan, inovatif, dinamik, dan berpaksikan rakyat. ACV 2045 menumpukan usaha memperkukuh peranan ASEAN sebagai hab pertumbuhan ekonomi utama di rantau Indo-Pasifik, selain meningkatkan keupayaan menghadapi trend mega global serta mempromosi pembangunan mampan.
Visi 20 tahun ini bertujuan memastikan ASEAN memiliki hala tuju jelas serta fleksibel untuk mencapai matlamat bersama di tengah-tengah perubahan pantas landskap global. Ia akan memudahkan perancangan strategik jangka panjang, keutamaan dalam peruntukan sumber, serta pemantauan yang konsisten terhadap pencapaian matlamat serantau.
Tonggak utama Visi Komuniti ASEAN 2045 termasuklah:
- Politik dan Keselamatan – Memupuk keamanan, kestabilan, serta ketaatan terhadap undang-undang antarabangsa.
- Ekonomi – Menjadikan ASEAN ekonomi keempat terbesar dunia dengan memberi tumpuan terhadap inovasi, transformasi digital, rantaian bekalan kukuh serta pertumbuhan mampan.
- Sosio-budaya – Membangun komuniti inklusif, menitikberatkan identiti bersama, keadilan sosial, kesaksamaan gender, pemberdayaan belia, dan pemeliharaan budaya.
- Keterhubungan dan Kapasiti Institusi – Memperkasa infrastruktur fizikal dan digital serta mengukuhkan institusi ASEAN untuk tadbir urus lebih cekap.
Selain itu, ACV 2045 turut memperkenalkan fokus baharu dalam kepimpinan serantau di peringkat global, ekonomi digital dan hijau, peningkatan inklusiviti dalam penggubalan dasar serta kemampanan dan daya tahan menghadapi isu global seperti perubahan iklim dan pandemik.
Dalam pada itu, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini juga menyaksikan dua mesyuarat penting iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa ASEAN bersama GCC berupaya menjadi teras kestabilan dan pemangkin pertumbuhan global masa depan. Potensi perdagangan antara GCC dan ASEAN dijangka meningkat sebanyak 30 peratus kepada A$180 bilion menjelang 2032.
Presiden Majlis Tertinggi GCC, Sheikh Sabah Al-Khalid Al-Sabah turut menyatakan bahawa peningkatan ini mencerminkan keyakinan tinggi serta integrasi ekonomi yang semakin kukuh antara kedua-dua rantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 turut menampilkan Persidangan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) Ke-16. Perdana Menteri Malaysia dalam ucapan pembukaannya menekankan kepentingan mempercepat integrasi ekonomi serta mempermudah perdagangan rentas sempadan melalui penyelesaian digital inklusif dan rangkaian pengangkutan yang mantap.
Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045 ini jelas menunjukkan komitmen tinggi ASEAN untuk menghadapi masa depan dengan penuh persediaan, perpaduan, serta wawasan yang berpaksikan kestabilan dan kemakmuran bersama.
#Prezcom