
PETALING JAYA 30 Mei 2025. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa pendakwaan terhadap individu yang disyaki terlibat dalam rasah hanya boleh dibuat sekiranya terdapat bukti yang mencukupi.
Beliau turut menegaskan bahawa proses pendakwaan mesti mengikut prosedur dan peraturan yang betul bagi memastikan keadilan terlaksana dengan sempurna.
“Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang sewenang-wenangnya berkata ‘kita perlu tangkap’ atau ‘kita perlu dakwa’. Saya bukan seorang diktator yang memberi arahan supaya tangkapan segera dibuat,” kata Anwar ketika merasmikan sambutan Kaamatan di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Beliau menambah bahawa usaha memerangi rasuah perlu dilakukan secara menyeluruh di semua peringkat tanpa sebarang prejudis atau tekanan awam.
Mengulas lanjut mengenai isu video kontroversi yang dikatakan melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dalam skandal perlombongan mineral, Anwar menjelaskan bahawa rakaman video yang disebarkan secara berpecah-pecah tidak boleh digunakan sebagai asas pendakwaan.
“Video sebegitu tidak mencukupi untuk mendakwa sesiapa. Siasatan yang lengkap perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kes dirujuk kepada pendakwa raya,” katanya lagi.
Beliau turut mengulas mengenai tuduhan yang mendakwa beliau cuba menyembunyikan perkara itu apabila video tersebut mula tersebar. Namun, apabila isu semakin mendapat perhatian, beliau sendiri telah merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.
Minggu lalu, SPRM mengesahkan bahawa mereka telah melengkapkan laporan forensik ke atas video kontroversi berkenaan. Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki enggan mengulas lanjut tentang keaslian video-video tersebut.
Kontroversi ini tercetus pada tahun 2024 selepas beberapa siri video tersebar yang mendakwa beberapa ADUN Sabah terlibat dalam aktiviti rasuah dan salah guna kuasa berkaitan projek eksplorasi mineral.
Pada Februari lalu, Azam menjelaskan bahawa kumpulan awal video yang tersebar didapati telah banyak disunting, menyebabkan kredibilitinya dipersoalkan.
#Prezcom