Isu Sebar Ajaran Kristian: Hannah Yeoh Menang Saman dan Diberi Pampasan RM400,000

KUALA LUMPUR 30 Mei 2025. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, telah memenangi saman fitnah terhadap seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, berhubung dua hantaran Facebook yang menuduh beliau mempromosi “agenda Kristian” menerusi buku memoirnya. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pampasan sebanyak RM400,000 diberikan kepada beliau.

Hakim Mahkamah Tinggi, Aliza Sulaiman dalam penghakimannya telah memberikan ganti rugi am dan teruk sebanyak RM200,000 bagi setiap satu daripada dua hantaran fitnah tersebut yang disiarkan pada Mei 2017. Bagaimanapun, mahkamah tidak mengarahkan permohonan maaf secara terbuka kerana dikhuatiri tidak akan ikhlas.

Yeoh memfailkan saman pada tahun 2022 terhadap Dr Kamarul yang mendakwa buku autobiografi beliau bertajuk “Becoming Hannah: A Personal Journey” digunakan sebagai bukti kononnya beliau menyebarkan agama Kristian melalui platform politiknya, seperti dilaporkan oleh New Straits Times.

Hakim Aliza berkata, Hannah Yeoh telah berjaya membuktikan bahawa hantaran Facebook tersebut bersifat fitnah yang menggambarkan beliau sebagai ancaman kepada agama Islam dan telah menyalahgunakan kedudukan politiknya.

“Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama, tuduhan seperti ini mampu mendedahkan seseorang kepada kebencian, cemuhan dan penghinaan. Defendan bergantung pada pembelaan justifikasi, komen adil dan perlindungan bersyarat. Bagaimanapun, mahkamah mendapati tiada satu pun daripada pembelaan tersebut berjaya dibuktikan,” kata hakim dalam keputusannya.

Selain itu, hakim turut memutuskan bahawa Yeoh telah berjaya membuktikan wujud niat jahat di pihak defendan.

“Sekiranya defendan benar-benar percaya plaintif telah melakukan kesalahan, membuat laporan polis adalah tindakan yang sewajarnya, bukannya menyiarkannya di Facebook yang menyebabkan kemudaratan tidak wajar,” tambah hakim Aliza.

Mahkamah turut menolak dakwaan Dr Kamarul bahawa kenyataannya ditujukan kepada parti politik DAP, kerana jelas bahawa beliau secara khusus menamakan Hannah Yeoh dalam kedua-dua hantaran tersebut.

Selain pampasan RM400,000, mahkamah juga memerintahkan injunksi melarang Dr Kamarul dan pihak berkaitan daripada menyiarkan semula atau membuat kenyataan fitnah yang serupa pada masa hadapan. Yeoh turut menerima kos mahkamah sebanyak RM80,000.

Dr Kamarul yang tidak hadir semasa prosiding, difahamkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Berikutan keputusan itu, Hannah Yeoh melahirkan rasa syukurnya menerusi hantaran di Facebook.

“Terima kasih kepada Hakim Aliza Sulaiman atas keputusan ini yang akhirnya membersihkan nama saya daripada tuduhan palsu mengenai buku dan kepercayaan saya,” tulisnya.

Yeoh juga mengucapkan penghargaan kepada barisan peguamnya, Sangeet Kaur Deo daripada firma Karpal Singh & Co dan Tan Chee Kian daripada CK Tan Chambers atas komitmen tinggi mereka sepanjang kes berlangsung.

“Sangat terharu dengan CK Tan yang mengambil cuti dari rawatan di hospital semata-mata untuk hadir ke mahkamah pagi ini. Terima kasih juga kepada semua saksi saya yang hadir memberi keterangan dalam perbicaraan ini,” tambahnya.

Beliau mengakhiri catatan dengan menyatakan keyakinannya kepada Tuhan, “Akhir sekali, terima kasih Tuhan atas janjiMu bahawa Engkau tidak akan pernah meninggalkan atau mengabaikan aku. Aku mempercayakan hidupku sepenuhnya kepadaMu.”

#Prezcom